PETALING JAYA: Memilih untuk tidak terlalu bergantung kepada media sosial, penyanyi Haqiem Rusli, akui ini adalah caranya untuk bersifat lebih eksklusif.
Hanya muncul sekali sekala di laman sosial, jelas penyanyi ini penting untuk dirinya mengimbangi kehidupan realiti dan alam maya.
“Saya cuba untuk jadi lebih terhad, sedikit ‘mahal’ dan eksklusif. Malah saya kini lebih sedar kehidupan realiti itu juga perlu seimbang dengan hal lain. Tapi tidak bermaksud saya nak kata dunia media sosial tak bagus.
“Sekali sekala masih bertanya khabar peminat, mengadakan sesi lintas langsung dan memuat naik entri di media sosial,” jelasnya.
Tambahnya yang kini sibuk menguruskan perniagaan restoran steambot Santhai Village ini, kemunculan kontroversi lalu juga banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati sebelum berkongsi di media sosial.
.
“Dengan situasi semasa termasuk kuasa netizen, saya sedar tak semua benda perlu dikongsi di media sosial. Kalau hari-hari saya kongsi gambar swafoto atau nyanyian ‘cover’ pun mesti ramai akan bosan. Saya ajar diri untuk tidak pos sembarangan.
“Saya gemar melihat contoh seperti sifu Datuk M Nasir yang tebal dengan sisi eksklusifnya. Biarlah sesekali saya ‘keluar’ di media sosial, baru ramai merindui diri ini,” katanya.