KUALA LUMPUR: “Tapi cerita merepek ini dapat tontonan hampir 2 juta.”
Itu luahan rasa penerbit dan penulis novel popular, Siti Rosmizah apabila dramanya, Rindu Awak Separuh Nyawa (RASN) dikatakan sebagai drama merepek dan tidak memberi mesej kepada penonton.
“Kepada peminat drama fenomena RASN, Kak Siti nak kongsi kenyataan daripada seorang insan hebat ini yang kata RASN ditonton oleh mak cik bawang. Ada satu drama itu, orang bijak pandai yang tonton mungkin? Sebab cerita dia ada kelainan.
“Tak tahulah pula drama RASN ini merepek, tak ada mesej. Susah manusia ini bila menulis main ikut suka saja sampai tak beradab. Tak tahu hormat orang lain,” luahnya.
Dalam luahan sama Rosmizah melayangkan lagi pertanyaan kepada penonton RASN lakonan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose.
“Betul ke drama RASN ini tahap mak cik bawang? Jadi, penonton yang tengok drama ini tahap mak cik bawang sajalah? Kalau tahap mak cik bawang, lepas ini tak payahlah Kak Siti buat drama lagi. Korang pergi sajalah tonton drama-drama lain yang ada tanda aras tinggi supaya tidak dikategorikan mak cik bawang ya.
“Kenyataan kata mak cik bawang yang tengok cerita ini daripada produser drama Scammer. Iyalah drama dia saja yang hebat,” tambahnya lagi.
Kenyataan Siti Rosmizah ini ditujukan kepada pengarah Scammer, Shahrulezad atau Budak Ijat yang meluahkan rasa syukur apabila drama terbaharunya itu mendapat sambutan menggalakkan dengan meraih 800,000 tontonan setakat empat episod bersiaran meskipun genre mengenai dunia jenayah kolar putih.
“Slot pukul 11 malam yang baru diperkenalkan ini memang genre dia sejenis berat sedikit. Sebab pada waktu ini kebanyakan acik acik bawang peminat tegar Rindu Separuh Nyawa dah masuk selimut. Jadi pukul 11 malam adalah giliran anak-anak mereka atau yang bukan acik acik kawal alat kawalan jauh,” tulis Budak Ijat.