PETALING JAYA: Pelakon popular, Rita Rudaini, membidas dakwaan seorang pengacara, Fara Hanim Razak yang mengatakan seorang selebriti dengan nama RR telah menyebarkan dakyah anti vaksin di kawasan tempat tinggalnya.
Menerusi entri Instagramnya, Rita menafikan dakwaan tersebut dan meminta agar pengacara tersebut bertemu empat mata dengannya.
“Datang jumpa depan-depan, saya lagi lama duduk kawasan ini berjiran dengan Scha, Awal dan Lufya. Tidak pernah pula jumpa jiran macam ini, kami elok sahaja.
“Kalau tidak puas hati marilah bersembang, kita orang Islam dan berjiran. Saya pun tidak pernah tulis yang saya ini anti vaksin.
“Selain itu, pasal vaksin pun nak pandang serong dekat orang. Orang macam ini tidak boleh dibuat jiran, suka cakap belakang. Tak perlu tulis RR dan LL, tulis je nama. Apa salahnya, jika nak cari publisiti,” luahnya.
Semalam, Fara Hanim Razak mendedahkan secara terbuka dengan memberi gambaran nama artis tersebut bermula dengan huruf RR dan LL menerusi ciapan di Twitternya.
Malah, menerusi ciapan pengacara itu juga mendedahkan selebriti tersebut rancak menyebarkan dakyah untuk mengelakkan Covid-19 serta mengatakan virus tersebut adalah iluminati.