KUALA LUMPUR: “Dari masuk penjara lebih baik ‘berperang khidmat’ di bumi Gaza!”
Itu nota yang diusulkan oleh Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery sebagai ‘hukuman’ kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa menerusi status di dalam Facebooknya, petang semalam.
“Mohon bantu agar mesej ini sampai dengan tag Neelofa dan PU Haris Ismail serta komen ‘sokong’ di ruangan bawah ini,” tulisnya.
Setakat artikel ini ditulis, majoriti pelayar di Facebook bersetuju dengan gesaan Mapim itu.
Menurut Ahmad Sani, Neelofa dan suaminya merupakan seorang muslim yang banyak membantu kerja Palestin, Syria dan domestik menerusi Mapim secara belakang tabir dan tidak langsung.
“Saya doakan dia dapat bekerjasama langsung memberikan sokongan terus kepada pembinaan semula Gaza dan Palestin,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 58,427 individu menandatangani satu petisyen yang diwujudkan menerusi laman sesawang change.org mahu Neelofa dipenjarakan.