PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim menegur warganet agar tidak membuat andaian jika seseorang tidak berkongsi mengenai isu Palestin di media sosial mereka.
Katanya, seandainya mereka tidak berkongsi isu tersebut di media sosial, ia bukan bermakna mereka tidak mengambil peduli tentang situasi yang berlaku di sana.
Selain itu, Zahiril turut menegaskan setiap orang mempunyai cara tersendiri bagi menunjukkan mereka peduli ke atas saudara-saudara di Palestin yang sedang bergolak ketika ini.
“Kalau orang itu tidak berkongsi apa-apa tentang isu Palestine di platform media sosial, tidal bererti dia tidak kisah serta tidak peduli. Tak perlu kau marah, kecam atau menganjing. Jangan acah-acah.
“Selanjutnya, masing-masing ada cara tersendiri. Mungkin dia pulun dengan doa atau membelanjakan wang ringgit untuk sumbangan secara diam. Bukan semua orang menghadap media sosial 24 jam macam kau,”
“Ini waktu-waktu umat Islam bersatu. Tidak perlu bangkitkan isu remeh macam ini untuk berpecah belah,” tegasnya menerusi Instastory di Instagram.
Sebelum ini, serangan kejam yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin sejak minggu lalu ketika umat Islam sedang bersedia menyambut lebaran mendapat kecaman teruk dari seluruh dunia.
Rata-rata golongan artis tidak kira dalam dan luar negara berkongsi isu menyayat hati yang berlaku di Palestin. Mereka turut mengutuk tindakan keganasan yang melanda negara itu akibat serangan Israel.