KUALA LUMPUR : Dilihat sudah memadam gambar bersama bekas madunya, Intan Liana Saleh semalam, pelakon Izreen Azminda, 36, menjelaskan tindakan itu dirasakan lebih afdal bagi mengelak lebih banyak serangan kecaman.
Menurut Izreen, dia tidak memadam terus gambar bersama Intan kerana ia cuma berada dalam ruangan simpanan dalam akaun Instagram selain beranggapan telah selesai tugasannya mempromosikan program Melodi Raya baru-baru ini.
“Gambar itu untuk tujuan membantu urusan mempromosikan program berkenaan. Jadi, bila sudah habis, saya simpanlah. Bukan buang atau padam.
“Jangan pula salah faham. Perbuatan minta maaf tempoh hari bukan pula untuk tujuan promosi. Maaf yang saya luahkan, sama ada dalam program atau dalam hantaran berserta gambar dengan Intan itu benar-benar ikhlas dari hati kecil saya,”katanya.
Izreen berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas mengenai misteri kehilangan gambar dan hantaran berbaur kemaafannya yang sebelum itu dimuat naik dalam Instagram dan mendapat respons pelbagai daripada pengikut dan warga net.
Menjelas lanjut, kata Izreen, dia sedar ramai menzahirkan respons dan pandangan berbaur kecaman kepadanya mengenai pertemuan yang disatukan oleh pihak Melodi tersebut.
Tetapi katanya, gambar dan luahan kata yang dikongsikan terdahulu dalam Instagramnya bukan dilakukan bagi meraih perhatian atau simpati orang ramai.
“Bukan saya nak kata diri baik, bahkan sedar, diri tak perlu memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai kata maaf yang diluahkan.
“Tapi kerana ia juga adalah permintaan penerbit demi tujuan yang dimaklumkan tadi, maka saya muat naik. Tiada niat apa pun, saya memang ikhlas,”katanya.
Dalam pada itu, Izreen berterima kasih kepada pasukan Melodi dan semua pihak termasuk pengikut yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap perkara yang mendatangkan kebaikan.
Izreen berkahwin dengan Muhammad Radzi Abdul Wahid, 31,atau Ude, pada 8 Ogos 2017 secara rahsia atas permintaan pemuzik tersebut yang ketika itu masih bergelar suami kepada Intan.
Ude bagaimanapun dilaporkan telah menceraikan isteri pertamanya itu pada 22 Mac 2018 setelah lima tahun berkahwin.
Bersama Intan, Ude memiliki dua orang anak iaitu Arish Muqry, 4, dan Ariq Muqry, 2.
Sebelum Ude, Izreen pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza pada tahun 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun.
Perkahwinan bersama Riza cuma bertahan selama tiga tahun setelah rumah tangga mereka dilanda badai juga bersabit orang ketiga.