KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Nabila Huda, 36, tampil memberi penjelasan kepada warga maya berhubung isu ciplak menggunakan jenama kumpulan rock terkenal, Search, yang didakwa dilakukan oleh peniaga Home of Champions baru-baru ini.
Jelas anak kepada vokalis bekas kumpulan itu, tuntutan dibuat bukan fasal kewangan tetapi berkenaan penjualan barangan tanpa persetujuan ahli kumpulan Search, Nasir, bekas vokalis, Amy dan wakil kelurga arwah pemain dram, Allahyarham Yazit.
“Kau orang tahu tak sebenarnya kita tidak boleh nak jual apa-apa produk atau barangan kalau muka kita ada tanpa keizinan? Bukan fasal nak tuntut duit. Champion jual barang tak legit, itu sahaja.
“Macam mana nak setuju. Tak ada orang tanya dan minta keizinan atau berbincang. Tahu-tahu barang dah keluar. Benda ini semua untuk Search, tak boleh pandai bagi orang ambil alih macam itu. Semua kerja keras,” katanya.
Nabila atau lebih mesra disapa dengan panggilan Abil, berkata demikian di ruangan komen ketika sesi siaran langsung di Instagram @akuamysearch pada malam semalam.
Dalam perkembangan lain, Abil di akaunnya memberitahu dia baru saja selesai kuarantin kendiri di rumah pada Khamis lalu.
Abil masih mengambil langkah berjaga-berjaga dan berkongsi ubat tambahan yang diamalkannya di sepanjang tempoh kuarantin lalu.