PETALING JAYA: Melihat situasi pandemik Covid-19 kini dalam keadaan membimbangkan, usahawan dan selebriti, Datuk Rizalman mengambil inisiatif menutup dan membuat penyekatan penuh terhadap syarikatnya, RIC Sdn. Bhd.
Menurutnya dalam satu kenyataan, penutupan penuh syarikat tersebut melibatkan semua warga pekerjanya dan operasi penjualan selama dua minggu.
Katanya, pelaksanaan itu sebagai tanda sokongan untuk membasmi penularan pandemik Covid-19 demi kebaikan semua pihak.
“Pihak pengurusan atasan bersepakat melakukan penutupan dan penyekatan penuh untuk semua pekerja serta penjualan walaupun pihak kami telah berdaftar serta mempunyai pengiktirafan sijil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Penutupan dan penyekatan ini akan mengambil masa sehingga dua minggu atau sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Penjualan atas talian produk di bawah Rinetwork iaitu T’Neeq dan T’Neeq Junior akan diberhentikan sementara pada jam 12 tengah malam tadi sehingga tempoh yang akan diberitahu kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, Rizalman menyifatkan penutupan dan penyekatan jualan tersebut bertujuan untuk mengambil kira keselamatan pekerja dan membantu mengurangkan penularan jangkitan virus tersebut.
Setakat hari ini, kes harian Covid-19, negeri Selangor masih mendahului jumlah kes positif tertinggi melebihi dari 1,000 kes.