Berhenti perasan kita kayangan - Que Haidar - Utusan Malaysia

Berhenti perasan kita kayangan – Que Haidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon Que Haidar, 41, menggesa semua pihak tanpa mengira latar belakang supaya berhenti merasakan diri memiliki hak keistimewaan tertentu terutama dalam isu pematuhan peraturan prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan sekarang.

Menurut Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar, golongan dilabel ‘kayangan’ ini tidak sepatutnya wujud memandangkan semua pihak harus memainkan peranan terutama ketika negara sedang berusaha menangani wabak Covid-19.

“Bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Perasan menganggap kita ini ‘kayangan’ patut dihentikan.

“Sebagai seorang figura awam, selebriti atau lebih mudah saya simpulkan, seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai, kita sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada masyarakat.

“Kita harus menjadi contoh kerana ada banyak mata yang memandang apa saja yang kita lakukan. Apa salahnya kita menggunakan platform media sosial kita yang mempunyai ribuan malah jutaan pengikut untuk sebarkan perkara-perkara yang baik,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Que berkata demikian semasa diminta mengulas sikap segelintir pihak termasuk artis yang didapati melanggar peraturan SOP berkali-kali namun tidak dikenakan tindakan setimpal sehingga menyebabkan rakyat semakin berang dengan situasi semasa.

Tambah pelakon ini, kebiasaannya golongan selebriti atau artis sering mudah menjadi sasaran orang yang ingin mencari salah maka seharusnya langkah harus diatur dengan lebih berhati-hati.

“Diharapkan semua pihak, tidak kira siapa, sekiranya memiliki surat kebenaran merentas negeri atau merentas daerah sekali pun jangan gunakannya untuk kepentingan sendiri atau mengambil kesempatan.

“Saya percaya, jika keadaan seperti itu berlaku, mungkin akan memberi kesan atau menyukarkan mana-mana pihak atau individu yang benar-benar mempunyai urusan penting atau kecemasan.

“Saya muak dan jelak membaca banyak komen menggelar golongan artis ni kayangan sehingga boleh terlepas dari mengikut SOP, terlepas dari hukuman atau sebagainya. Ada juga yang menggelar kami golongan artis ni bodoh. Tapi itulah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,”katanya.

Dalam pada itu, enggan bermusuh dengan sesiapa, Que bagaimanapun mengajak semua pihak supaya sama-sama mematuhi SOP, menjaga diri dan keluarga selain mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran.

“Jangan diulang-ulang kesilapan kita yang boleh mendatangkan rasa marah dan benci orang ramai. Tepuk dada, tanya selera,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya