PETALING JAYA: Belum bersedia untuk mengubah penampilan, ketika ini Amir Masdi tetap menghormati cadangan peminatnya yang mahukan dia memotong rambut.
Berkongsi alasan peminat yang mahu dia nampak seperti penyanyi K-Pop, jelas Amir, 25, sebagai seorang penyanyi penting untuk dia mempunyai imej tersendiri dalam membina nama.
“Ramai peminat yang cadangkan saya untuk memotong rambut agar nampak lebih comel macam penyanyi K-Pop. Saya hormati pandangan mereka, sebab ada juga yang mahukan saya terus berambut panjang. Katanya lebih sesuai.
“Tetapi itulah buat masa ini saya lebih senang dengan imej berambut panjang. Ikutkan impian untuk menyimpan rambut panjang ini memang sudah lama sejak dari bangku sekolah. Jadi bila ada peluang memang saya mahu simpan puas-puas dahulu. Tetapi jangan risau memang saya akan potong cuma sekarang belum masanya,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, berkongsi perasaan diberi peluang untuk menyanyikan lagu raya miliknya sendiri, jelas Amir ini adalah impian yang cukup dinantikan dirinya.
“Hari Ini Hari Raya juga adalah lagu raya pertama yang dirakamkan sepanjang pembabitan dalam bidang nyanyian. Sebelum ini tidak pernah terfikir nak rakam lagu raya. Kebetulan tahun ini dapat lagu raya yang menarik. Kalau nak tahu, pada asalnya nak lancar lagu ketuhanan, tapi tak puas hati sangat, jadi tak jadi buat.
“Apabila dapat lagu ini, saya dan syarikat rakaman suka dengan melodi. Itu yang ambil keputusan untuk rakam lagu ini. Malah, ini adalah kerjasama pertama saya dengan Shazee dan Altimet,”katanya.