PETALING JAYA : Menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)memanipulasi data harian pesakit Covid-19, penyanyi, Aliff Iskandar terpanggil untuk berkongsi pengalaman diri.
Berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk menjalani rawatan tempoh hari, jelas Aliff dia melihat sendiri keadaan sebenar pesakit Covid-19 di negara ini.
“Pandangan segelintir masyarakat mengenai KKM sebenarnya salah. Di sana saya melihat sendiri 1,000 orang yang masuk pusat kuarantin itu setiap hari. Tidak kira yang berkuarantin di rumah lagi. Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan KKM adalah sahih.
“Menjadi salah seorang pesakit di sana boleh saya kongsikan bagaimana ramainya orang selain ada yang bertahan dalam melawan penyakit. Tentunya paling terkesan melihat keadaan petugas barisan hadapan kita yang bertungkus lumus dalam memberikan bantuan kepada kami. Ini adalah keadaan yang sukar, sesiapa yang berada di pusat kuarantin itu pasti bersetuju yang Covid-19 bukan gurauan,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Semakin sihat selepas dijangkiti Covid-19 sejak 30 April lalu, jelas penyanyi lagu Perit ini, dia kini lebih berhati-hati untuk kembali bersosial.
“Alhamdulillah, Aliff sudah tidak mengalami simptom yang teruk seperti tempoh hari dan sedang berehat di rumah kini. Cuma untuk kembali bersosial itu agak berhati-hati kini. Cuma pesan saya terus ikut nasihat pihak berwajib dalam membendung penularan wabak ini.
“Mungkin hari raya kali ini akan disambut berbeza, namun lebih penting sebenarnya untuk kita semua menjaga kesihatan diri dan orang yang kita sayang,”katanya.