PANDEMIK yang melanda dunia ketika ini tidak hanya mengubah norma kehidupan sedia ada malah memberi impak besar terhadap ekonomi global. Maka, simpanan adalah kunci utama kelestarian dalam kehidupan kala ini.
Bagi pelakon popular, Amyra Rosli, konsep menabung untuk anak-anak dari kecil sememangnya penting untuk masa depan mereka ketika dewasa kelak. Tidak hairan, dia sudah mula menyimpan sedikit demi sedikit.
Dia dan suami, Amar Baharin tidak mahu anak-anak mereka iaitu, Aqeef Anaqi, 4, dan Ayra Aryssa, 1, susah di kemudian hari tanpa sebarang simpanan. Apatah lagi, tuntutan perbelanjaan harian yang semakin meningkat hari demi hari.
“Sebelum berlakunya Covid-19 lagi saya dan suami sudah mula menabung. Itu adalah perancangan masa depan terutama demi kesenangan hidup anak-anak. Kami juga mengamalkan kehidupan sederhana dan seadanya.
“Saya tidak ajar anak-anak untuk hidup mementingkan material. Selalu pesan kepada mereka tentang kepentingan menabung ini supaya mereka faham itu semua untuk keperluan masa depan. Sebab itu kami berdua cukup mengambil berat tentang simpanan anak-anak,” katanya.
Berdepan dengan siatusi tiada tawaran kerja atau penggambaran disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana beberapa kali sebelum ini, Amyra bersyukur kerana dia dan suami masih boleh meneruskan kehidupan dan menguruskan perbelanjaan penting menggunakan simpanan yang ada.
“Itulah pengajaran untuk kami. Nasib baik kami memang sudah mula menabung untuk diri sendiri dan anak-anak. Jadi kami menggunakan simpanan untuk kelangsungan hidup ketika itu,” katanya.
Berbicara tentang kepentingan menabung secara lebih jelas, Amyra tidak mampu meramal masa depan dan selagi mampu, dia akan cuba membuat persediaan yang terbaik untuk anak-anak di kala mereka kecil.
“Kita semua sedia maklum, kerjaya sebagai anak seni ini belum mampu menjamin apa-apa. Jadi sebelum kesusahan menimpa, lebih baik kami bersedia,” katanya.
Antara tabung simpanan kanak-kanak yang menjadi pilihan kini adalah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan sempena raya pada tahun ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan kempen Jom Beraya, Jom Menyimpan 2021.
Kempen Jom Beraya, Jom Menyimpan 2021 ini, adalah tanda penghargaan PTPTN kepada rakyat Malaysia kerana memilih SSPN sebagai pilihan utama untuk simpanan di musim perayaan.
Kempen ini bermula pada 1 Mei sehingga 31 Mei 2021.
Pendeposit boleh membuka akaun atau membuat penambahan simpanan secara online dengan melayari www.lovesspn.com, hadir ke kaunter cawangan PTPTN berhampiran atau melalui ejen-ejen sah yang telah dilantik oleh PTPTN.