KUALA LUMPUR : Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, 34, meluahkan kekecewaannya lantaran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana sudah membuat persiapan awal dalam perancangannya untuk menjamu tetamu.
Menurut Aliff, dia sudah menempah seekor lembu dan lima ekor kambing untuk menjamu pekerjanya terutama golongan bujang yang tidak dapat pulang beraya di kampung.
“Saya sedih sangat waktu Hari Raya Aidilfitri pula nak PKP. Kami dah patuh Prosedur Operasi Standard (SOP), tak kemana-mana pun selama PKP ni selain urusan kerja. Saya dah beli banyak lauk-pauk nak jamu tetamu yang nak bertandang ke rumah saya.
“Terutama pekerja-pekerja saya yang duduk bujang tak dapat balik kampung. Lembu seekor, kambing lima ekor, tiba-tiba dapat pengumuman tak dibenarkan langsung ada ziarah raya. Sedih tau,” kata Aliff yang berkongsi luahan itu di Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ramai pengikutnya saling berbalas komen dan turut berkongsi perasaan yang sama dengan Aliff.
Segelintir mereka juga mencadangkan agar Aliff menyumbangkan juadah itu kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, dia yang juga seorang penyanyi turut berkongsi lirik lagu raya nyanyinya berjudul Lala Raya.
“Yang di rantauan tak dapat pulang, rindukan kampung halaman tercinta, Covid pun datang tanpa diundang, PKP pula berulang-ulang. Kamu orang sambung lah saya sedih tak boleh nak sambung nyanyi,” katanya.