RAWANG: Salah seorang ahli kumpulan Dolla, Tabby mendedahkan dia pernah diusik oleh peminat lelaki nakal menerusi grup Telegram yang tanpa malu meminta gambar kakinya.
Tabby berkata, kelakuan pelik peminat tersebut diserang semula oleh peminat lain dan dikecam kerana melampau.
“Ada peminat lelaki ini pernah minta gambar kaki saya. Pelik juga saya secara tiba-tiba dia berani berbuat demikian. Walau bagaimanapun, dalam grup itu ramai jugalah yang menyerang balik. Pendek kata, kalau ada yang melebih-lebih mesti ada yang back up,” ujar Tabby.
Tambah Tabby, grup yang ditubuhkan sejak awal pembabitan sekitar 2019 disifatkan sebagai satu medium komunikasi antara peminat dengan Dolla.
“Boleh dikatakan kami masing-masing agak rapat. Ada di kalangan mereka yang menghidap penyakit gangguan emosi, kongsinya kesihatan kini lebih stabil sebab aplikasi itu ibarat ruang curahan hati dan terhibur dengan telatah kami,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pakaian mereka yang menjolok mata, Dolla yang popular dengan lagu Watch Me Glow menyifatkan seksi itu subjektif.
“Secara peribadi bagi kami hanya cara berpakaian. Mungkin selepas ini kami akan perbaiki. Faham juga berpakaian berpada-pada, ikut tempat dan waktu,” katanya.