Pilihan untuk mendedahkan kisah dia ditawarkan sehingga RM100,000 hanya untuk melayan nafsu sugar daddy seakan gurauan buat warganet. Bukan sahaja dituduh mencari perhatian, ada juga yang melihat penyanyi ini sengaja menimbulkan keadaan itu dalam menunjukkan dirinya masih ‘laku’. Tersenyum dengan segala dakwaan, bagi Syura Badron apa yang berlaku ini sedikitpun tidak memberi sebab dia berasa bangga. Mahu menjelaskan wujud aktiviti tidak bermoral ini, menurut Syura mereka di luar sana perlu sentiasa berhati-hati.
Apa rasa bila ada yang melihat apa yang didedahkan Syura sekadar untuk meraih perhatian?
Saya hanya kongsi perkara yang berlaku ke atas diri sendiri. Bukan mengadakan cerita pun, malah apa yang berlaku ini bukan sesuatu yang membanggakan untuk saya ceritakan kepada semua. Tidak pernah saya terfikir dengan berkongsi kisah ditawarkan sejumlah wang yang banyak ini akan membuatkan orang terfikir saya masih laku. Bukan itu niat saya pun.
Jadi niat sebenar Syura berkongsi sebab apa?
Saya hanya terkilan sebenarnya dan sehingga kini buntu. Apa yang menyebabkan individu itu mendekati saya dan menawarkan untuk terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu. Apa yang tidak kena dengan laman Instagram saya sehingga dia boleh menghubungi saya. Paling terkejut apabila individu ini juga turut memberi kenyataan yang dia yakin saya akan pertimbangkan permintaan ini memandangkan jumlah wang ditawarkan tinggi.
Mula-mula dedahkan perkara ini takut tak?
Memang takut, sebab selepas saya dedahkan apa yang berlaku ini, akaun individu itu terus lenyap. Dahulu memang saya dengar mengenai kegiatan ini, tetapi tidak tahu sejauh mana kesahihahnya. Jadi, bila terjadi ke atas diri sendiri baru faham.
Sebagai seorang wanita bertudung, Syura pernah terfikir melalui pengalaman ini?
Saya ingat golongan ini hanya akan mendekati mereka yang seksi dan mungkin lebih berani sahaja, rupanya tidak. Mungkin pilihan setiap orang itu berlainan. Apa yang menghairankan, selama ini tidak pernah pula saya menunjukkan saya terdesak memerlukan wang dalam laman sosial atau apa.
Sebagai penyanyi dan ahli perniagaan saya memang berusaha sendiri sahaja, tidak perlu hasil tidak elok seperti ini. Malah bila berkongsi dalam laman sosial kegiatan saya, niat hanya untuk menjadi inspirasi kepada mereka yang mungkin melalui perjalanan hidup yang sama.
Di usia 35 tahun semakin cantik, mungkin penyebabnya?
Perubahan yang berlaku ke atas diri saya adalah kehendak sendiri. Saya tidak berubah untuk sesiapa. Gelaran janda hot atau apa tidak memberi kesan, sebabnya bukan kata-kata orang yang membuatkan saya buat keputusan.
Malah bukan mahu tunjuk kepada sesiapa pun. Apa yang saya rasa adalah untuk kepuasan diri sendiri. Perkongsian dalam laman sosial juga dibuat untuk memberi inspirasi kepada wanita lain. Tidak ada ke arah lain.
Enam tahun bergelar ibu tunggal, mungkin bila dedahkan siapa kekasih akan lenyapkan kisah ini?
Tidak perlulah saya dedahkan mengenai hal peribadi seperti itu. Sebabnya, melalui pengalaman lalu saya rasa biar semuanya sudah pasti baru kongsi. Buat masa sekarang dedah atau tidak, bukan memberi jaminan orang akan berhenti bercakap. Jadi buat masa ini saya lebih senang untuk kunci mulut sahaja.