PETALING JAYA: Penerbit drama Anak sena, Jaja Ishak menafikan dakwaan pihaknya melakukan keroskan hutan di Taman Negara Pahang ketika penggambaran drama itu dijalankan.
Jelasnya yang mewakili Kembara Sufi Production, sepanjang 12 hari berada di lokasi itu mereka bukan sahaja mengikuti garis panduan yang sudah ditetapkan tetapi juga turut dipantau secara berkala oleh agensi kerajaan yang terlibat.
“Setiap lokasi untuk drama ini melalui prosedur, bermakna memang kami ada surat kebenaran. Malah dalam untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini beberapa masyarakat Orang Asli juga turut berada sepanjang masa di set penggambaran. Jadi dakwaan ada kerosakkan hutan yang berlaku ketika penggambaran berlaku memang tidak betul.
“Ikutkan memang saya terkejut dengan aduan yang diterima mengatakan kami melakukan kerosakkan sehingga ada pegawai daripada agensi kerajaan yang turun padang melihat lokasi tersebut.
“Saya tidak tahu apa niat dia membuat laporan tersebut, namun selepas dijelaskan dan melihat sendiri suasana penggambaran sehingga kini tiada lagi perkara berbangkit,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya dalam memastikan kru yang terbabit juga faham akan situasi lokasi penggambaran, mereka juga turut diberikan penerangan hampir setiap hari.
“Untuk masuk ke lokasi berkenaan juga ada jalan khas yang perlu kami lalui dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat laluan sendiri dalam hutan.
“Sebab kita tidak tahu pokok apa yang kita pijak atau patahkan secara tidak sengaja.
“Di pihak kami sendiri, kru yang terlibat akan diberikan penerangan setiap hari. Malah saya juga sangat tegas soal disiplin sepanjang penggambaran di lakukan,”katanya.
Tidak menolak kontroversi melibatkan sebuah produksi drama yang merosakkan lokasi penting sejarah sebelum ini mungkin menyumbang kepada dakwaan ini, jelasnya seharusnya individu berkenaan tidak terus membuat aduan secara melulu.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya cumanya bila berlaku keadaan seperti itu orang akan menunding jari kepada semua. Sebab itu saya sangat berhati-hati dalam soal ini,”katanya.
Sementara itu drama bersiri lapan episod lakonan Ben Amir ini mengisahkan tentang pengorbanan seorang guru dalam membimbing anak masyarakat Orang Asli.