KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 30, mengakui telah banyak melakukan penyesalan dalam hidupnya dan sedang berusaha untuk menjadi muslim yang lebih baik.
Kesal atas sikap sendiri, sebagai permulaan untuk menebus khilaf, suami kepada penyanyi Bella Astillah, 27, memasang niat untuk membuang tatu.
“Saya mengaku telah banyak melakukan perkara yang cukup disesali pada masa lalu. Oleh itu, saya cuba untuk mengenal pasti apa yang boleh saya dibuat . Benar dalam agama kata, kalau benda itu memudaratkan tak perlu. Tetapi ini adalah usaha saya dan bukan nak membuktikan kepada sesiapa pun.
“Sebab dipengakhirannya nanti kalau kita ikhlas orang sekeliling akan turut rasa aura itu. Alhamdulillah sejak di sini ramai yang memberikan sokongan dan saya rasa gembira sebab dapat berjumpa dengan rakan media,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian Masok Food Court di Kampung Baru.
Terdahulu, Aliff ada memuat naik status mencari klinik untuk membuang tatu di InstaStory Imiliknya. Sekitar Januari tahun lalu, tular satu video yang dipercayai penyanyi itu bergaduh di sebuah lokasi di Singapura. Dalam pergaduhan itu memperlihatkan Aliff memiliki tatu di belakang badannya ketika memakai singlet dan berseluar biru.
Selepas dihimpit pelbagai kontroversi dan tinggal bersama keluarganya di Singapura selama dua tahun, Aliff kini bersama isteri dan anak-anaknya, Muhammad Ayden Adrian dan Ara Adreanna sejak Disember lalu.