PETALING JAYA: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang selamat melahirkan bayi lelaki semalam berkata, beliau hanya akan berpantang seperti biasa.
Katanya, selain berpantang, fokus kini adalah kepada bayinya dan memastikan mereka berdua sihat.
“Saya akan menjalani rutin berpantang seperti biasa, fokus kepada bayi dan mahu memastikan keadaan kami berdua akan terus sihat, dipermudahkan semuanya,” katanya dalam hantaran di facebook.
Dalam hantaran itu Siti turut berkongsi gambar bayi lelakinya itu tetapi tanpa menampakkan wajah.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana telah sekali lagi berpeluang merasai nikmat menjadi ibu.
Beliau bersyukur kerana Allah melapangkan satu lagi nikmat dan peluang untuk merasai kehamilan, melahirkan dan kini ‘anakanda’ saya sudah lahir ke dunia.
“Alhamdulillah..proses melahirkan semalam baik dan lancar, saya dan bayi juga dalam keadaan baik.
“Terima kasih di atas doa semua pihak selama ini, saya yakin apa jua yang saya lalui ini adalah berkat daripada banyaknya doa kalian. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” katanya.
Semalam enyanyi nombor satu negara itu selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada pukul 6.21 pagi tadi.
Bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan dan kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan sihat.
Suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta telah selamat melahirkan bayi kedua mereka.
“Apa yang penting bagi saya adalah ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan telah berjalan lancar.
“Saya dan isteri ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas doa keluarga, saudara mara, sahabat handai, peminat, media dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelahiran anak kedua dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini diharapkan akan mengurniakan limpahan rezeki serta rahmat Allah kepada pasangan itu.