DARI dapur kecil di sebuah apartmen kini ke dapur komersial di Kitchen Connect dan bakal membuka restoran makanan segera sendiri tidak lama lagi.
Siapa sangka usaha dua sahabat Johann Razali, 27, dan Shafiq Saiful Aznir, 31, berupaya mempertaruhkan resipi ayam goreng buttermilk atau susu mentega yang pertama. Lain daripada yang lain.
Kata Johann, usaha mereka lakukan itu selepas menyedari kebanyakan hidangan ayam goreng yang dijual di Malaysia didominasi oleh rangkaian kedai makanan segera dan restoran ayam goreng Korea.
“Kami mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan resipi ayam goreng buttermilk sehingga betul-betul berpuas hati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Johann dan Shafiq menubuhkan Fowlboys Mac tahun lalu. Bermula sebagai sekadar hobi menerusi modal RM1,000.
Berbekalkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan serta buah mulut ramai penggemar makanan, jenama dua anak muda ini menerima momentum pantas di media sosial dan hasil jualan mereka terus meningkat menerusi kelainan yang dibawa oleh Flowboys.
Antara hidangan popular di Fowlboys ialah O.G. Sandwich dan Motherclucker (sandwic ayam goreng) serta Batter Up iaitu gabungan ayam goreng dan wafel. Harga hidangan dijual bermula RM16 hingga RM23.50.
TIGA BULAN
Menu itu menjadi pilihan kerana sedap dan unik. Ia mengambil inspirasi dari Amerika Syarikat (AS).
“Jika di Amerika Selatan, hidangan gabungan wafel dan ayam goreng adalah hidangan biasa. Jika dirasa, gabungan ini ternyata sedap dimakan, sama seperti yang biasa kita makan bersama madu atau coklat dan lain-lain.
“Resipi ayam goreng buttermilk ini juga saya inspirasikan daripada menu ala Southern ketika belajar di luar negara yang tidak pernah lagi dibuat oleh sesiapa di sini,” katanya.
Selain perapan buttermilk mereka turut menampilkan Fowl Jam yang berbeza rasanya daripada jem biasa.
“Ia tidak boleh diperoleh di tempat lain. Fowl Jam terhasil secara kebetulan ketika kami bereksperimen dengan pelbagai ramuan. Kami menciptanya dengan menggabungkan cili tempatan dan cili import untuk menghasilkan jem yang mempunyai rasa yang manis dan pedas,” katanya.
Menu seperti ini kerana ketika itu mereka bermula dengan masak di ruang yang sempit, jadi menyediakan burger bersama ayam goreng adalah lebih mudah dan senang.
“Sebab itu kami menawarkan set burger ayam goreng buttermilk sebagai satu juadah yang lengkap dan merupakan pilihan yang lebih mengenyangkan kepada pelanggan kami,” katanya.
BUKAN PAKAR
Keberanian dimiliki Johann, bekas siswazah Northern Arizona University ini sangat membanggakan kerana mereka berdua sebenarnya tidak memiliki kepakaran dalam bidang masakan atau kulinari.
Shafiq berkata, mereka berdua banyak belajar daripada kesilapan terutamanya pada bulan-bulan awal perniagaan.
“Kami berdua sebenarnya suka makan. Johann pula suka masak. Jadi, kami hanya mencuba nasib.
“Pada mulanya kami jual kepada kawan-kawan namun tidak sangka dapat sambutan. Oleh itu, kami buat keputusan untuk pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) ini,” katanya.
GIAT KEJAR IMPIAN
Tertubuhnya Fowlboys membuktikan dua sahabat bekerja keras dengan idea yang tercetus ketika pandemik sehingga membuahkan hasil yang tidak disangka.
Kata Johann, dia tidak menafikan bidang F&B amat sengit kerana ramai yang mula menceburi bidang perniagaan makanan sebagai sumber pendapatan mereka.
“Namun, kami tidak akan patah semangat dan akan terus berusaha menambah baik setiap menu seperti roti burger beku ke burger bun kentang yang dibakar segar setiap hari oleh salah sebuah bakeri tempatan. Ia bagi memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Johann berkata mereka impikan untuk memiliki perniagaan makanan segera dengan membuka francais ke seluruh negara.