Pes segera memudahkan kerja memasak - Utusan Malaysia

Pes segera memudahkan kerja memasak

Sri Endah sentiasa mengutamakan aspek kebersihan ketika menyediakan bahan mentah 'Blender Bonda'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas semua sektor boleh bekerja di pejabat, rutin wanita khususnya yang berkhidmat di ibu kota, Ramadan tidak lagi dirai seperti tahun lepas dengan bersantai memasak di dapur menyediakan juadah berbuka puasa buat keluarga.

Kini, kesuntukan masa dek kerana kesesakan lalu lintas, kembali menjelma. Kebimbangan mengenai keselamatan menu di beli dari bazar Ramadan pada masa sama was-was bersesak, mendorong segelintir wanita khususnya ibu-ibu mengambil inisiatif menyediakan pes dan bahan kisar seperti bawang, halia dan lengkuas bagi melancarkan tugasan di dapur.

Pengusaha kecil, Sri Endah Amat Basar, 34, antara yang bijak mengambil peluang terhadap keperluan wanita itu dengan menjalankan bisnes bahan mentah Blender Bonda.

Katanya, seperti kebanyakan wanita lain, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menyebabkan dirinya tidak rajin menyediakan ramuan kisar.

“Namun semuanya berubah pada tahun lepas. Saya dapat bonus, jadi saya fikir sesuatu yang boleh saya buat untuk menjana dan meningkatkan lagi ekonomi saya dan keluarga. Sebab itulah saya buat keputusan nak beli alat pengisar.

“Saya beritahu suami, saya dah melabur beli mesin pengisar, saya nak kembalikan semula duit yang saya dah guna tu. Jadi, terfikirlah pasal bahan-bahan mentah untuk memudahkan ramai orang, terutama golongan yang sibuk bekerja, tapi masih nak masak dan yang penting masak macam mak-mak kita masak untuk kita dulu-dulu, semua homemade, itu yang tercetusnya idea ni,” kata Sri Endah kepada Utusan Malaysia.

Bahan mentah segera yang sudah siap diproses.

PKP 1.0

Beliau mengusahakan perniagaan barang-barang basah secara offline dan online sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Meskipun produk bahan mentah segera yang diusahakannya mendapat sambutan, Sri Endah sentiasa menjaga aspek kebersihan bermula proses penyediaan hingga pembungkusan, demi menjaga keselamatan dan kesihatan pelanggan.

“Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah lagi kejadian tidak diingini berlaku kepada pelanggan yang membeli produk ini. Bermula dari proses penyediaan bahan, kami memang mengutamakan kebersihan.

“Sejujurnya, saya amat bersyukur dengan kewujudan produk bahan mentah segera kerana ia membantu membantu golongan bekerja dapat memasak dengan cepat setelah hampir seharian keluar bekerja.

“Malah saya nak tolong ramai lagi orang bujang yang biasanya duduk rumah sewa, tapi tidak mempunyai mesin pengisar.

“Saya juga tidak menafikan, trend membeli bahan mentah segera yang semakin mendapat sambutan membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjalankan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau tidak pernah terfikir idea kecilnya itu, dapat membantu ramai orang memudahkan rutin memasak di dapur walaupun sibuk bekerja.

JANGAN KETEPIKAN ASPEK KESELAMATAN MAKANAN

Sungguhpun penjimatan diutamakan, keselamatan sewaktu penyediaan ramuan tidak boleh diketepikan.

Pegawai Pegawai Dietetik & Kaunselor Penyusuan Klinik Siti, Nuraziema Ari memberitahu, ia berikutan sekiranya tempoh dan cara penyimpanan tidak betul, ia akan menggalakkan pembiakan kulat dan bakteria yang memberi impak kepada kesihatan seperti mengakibatkan keracunan makanan.

NURAZIEMA ARI

“Bakteria memerlukan makanan, kehangatan, kelembapan dan masa untuk membiak. Dalam keadaan yang sesuai, bakteria boleh membiak dengan cepat. Contohnya, satu bakterium boleh berganda hingga ke dua juta bakteria dalam tempoh tujuh jam.

“Jadi, ia boleh meningkatkan risiko keracunan makanan jika keselamatan dan kebersihan semasa penyediaan makanan diabaikan. Risiko boleh dikurangkan dengan langkah penyediaan, penyimpanan dan penyimpanan yang betul,” katanya.

Sementara itu, cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkata, individu perlu memiliki pengetahuan mengenai tempoh sah laku dan kesegaran sesuatu bahan itu kerana tidak semua bahan boleh disimpan di dalam peti sejuk atau sejuk beku.

“Letakkan label bila ia mula disimpan, supaya tidak berlaku keracunan makanan.

“Malahan proses penyediaan perlulah dijaga sebaiknya supaya tidak ada berlaku pencemaran silang antara bahan berdarah, bahan segar dan bahan yang telah dimasak,” katanya.

 

FAZLEY YAAKOB
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya