PETALING JAYA: Kehebatannya menyampaikan lagu-lagu bergenre rancak bukan sesuatu yang boleh dipertikaikan. Malah sehingga kini dia juga selesa dikenali sebagai Ratu Tari Malaysia.
Bagaimanapun mencari kelainan dalam berkarya, kini Stacy yang juga isteri kepada penyanyi Akim Ahmad, muncul dengan lagu baharu, Peluk.
Merupakan sebuah lagu balada, jelasnya ini adalah percubaan pertamanya dalam tempoh sembilan tahun.
“Selepas sembilan tahun tak keluar lagu balada, Alhamdulillah tahun ini saya melancarkan single Peluk. Kebetulan awal tahun ini pihak Nova Music menawarkan projek rakaman yang memerlukan lagu bergenre balada.
”Bagi saya, lagu Peluk ini sangat istimewa sebab saya cipta dan nyanyikan sendiri, selain bekerjasama dengan Akim sebagai penulis lirik lagu”,katanya.
Sementara berkongsi pengalaman selepas sembilan tahun tidak mengeluarkan lagu berentak balada, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, mengakui gementar.
“Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu bergenre balada, memang gementar dan ia sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja yang mana waktu itu saya masih bujang.
“Tapi, untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan ‘feel’. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. Tak dinafikan, menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan ‘feel’ yang berbeza. Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu,”jelasnya.