KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor, memaklumkan dirinya kini bukan lagi duta Swarovski.
Menurut Neelofa, kerjasamanya dengan jenama aksesori perhiasan popular dunia itu telah tamat hujung tahun lalu.
Penjelasan yang dimuat naik di Twitter tersebut sekali gus menutup spekulasi bahawa kontrak tersebut tamat kerana kontroversi demi kontroversi yang berlaku terutama tentang kesalahannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.
“Kontrak saya dengan Swarovski telah tamat Disember 2020 namun kami masih mempunyai hubungan yang baik dan akan terus kekal begitu. Harap ini jelas,” katanya.
Semalam, Swarovski dalam satu ciapan Twitter mengesahkan yang pihaknya tidak lagi berkerjasama dengan isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu.
“Pihak kami boleh sahkan yang kami tidak lagi bekerjasama dengan Neelofa,” ciap Swarovski menerusi akaun rasmi Twitter.