‘Mungkin saya akan berlagak sombong’- Haqiem Rusli - Utusan Malaysia

‘Mungkin saya akan berlagak sombong’- Haqiem Rusli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Haqiem Rusli, mengakui pengalaman pahit telah membentuk sahsiah dirinya hari ini lebih bersikap membumi.

Haqiem berkata demikian pada konsert maya kali pertama diadakan pada malam semalam yang disertai lebih 800 peminat.

“Apa yang telah berlaku di sepanjang karier saya adalah sudah tertulis. Salah saya atau bukan, bagi saya perjalanan itu telah menjadikan siapa saya hari ini.

“Baik dari segi percakapan mahupun nyanyian termasuklah berdepan dengan orang, perkara lampau mematangkan saya.

“Waktu itu perasaan berdebar pun ada apatah lagi nak menangis, rasanya tertekan. Kalau tak terjadi mungkin saya sekarang seorang yang berlagak sombong,” imbas Haqiem ketika berkongsi saat terpalit dengan kontroversi yang pernah menghimpit dirinya.

Haqiem juga menyifatkan teguran sebagai kritikan yang membina namun jika ada salah dan silap tegurlah dengan cara yang baik.

“Saya kenal orang yang minat dan tak minat saya. Tapi saya sangat positif. Kalau salah, saya minta maaf dan saya maafkan mereka.

“Kalau salah ada caranya untuk tegur. Mereka hanya berani dalam dunia maya tetapi di depan saya tak pernah ada yang tegur, kalau dia buat mcm tu saya respek,” katanya.

Pun begitu, apa yang membanggakan anak muda itu ialah apabila dapat bertemu dengan peminat setianya pada setiap persembahan pentas.

“Menyanyi takkan pernah puas, tapi kalau bercakap fasal momen membanggakan adalah apabila berjumpa dengan peminat-peminat saya. Rindu untuk buat persembahan pentas, bagaimanalah nanti kalau saya sudah tidak bermaya?,” tuturnya.

Pada malam konsert maya julung kali diadakan oleh pihak FMC Music dan YTJT Production selama dua jam itu, Haqiem mendendangkan 10 buah lagu termasuk empat buah lagu penyanyi asal M. Nasir (Suatu Masa), Datuk Seri Nurhaliza (Mash up Nirmala dan Cindai) dan Rossa (Aku Bukan Untukmu).

Selain menyanyikan lagu-lagu popularnya sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 23, pemenang Anugerah Bintang Paling Popular (ABP33) itu turut menyanyikan lagu berentak klasik pop yang belum diperdengarkan menerusi mana-mana media sosial dan ia bakal dikeluarkan tahun ini.

“Lagu Hitam Saksi Putih ini sangat berat dari segi melodi dan bait-bait liriknya, mungkin anak muda generasi sekarang susah untuk melayan lagu sebegini.

“Lagu ini membawa maksud bahawa hitam itu saya, putih pula mencerminkan insan yang baik, sebagai contoh ibu ayah cikgu. Jadi hitam ini menjadi saksi putih menerusi pesan nasihat mereka agar jiwa saya terpelihara,” katanya.

Untuk rekod, konsert maya pada malam Jumaat diketuai oleh pengarah muzik Pown Hasril dan diiringi oleh pemuzik Kechik Rangers (Bassist), Purnama Maqasuci (Drummer), Farez Asmadi (Pianist), Rushdan Ashri (Keyboardist), dan Izzywan Musib (Violinist). Tahniah buat seluruh tenaga kerja dalam menjayakan Haqiem Rusli Virtual Concert.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya