PETALING JAYA: Enggan anak-anak membaca komen tidak elok mengenai dirinya, jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berazam mahu menjadi lebih matang.
Jelasnya, dalam keadaan umurnya yang semakin meningkat juga, dia lebih senang sekiranya dapat menjalani kehidupan lebih tenang tanpa kontroversi.
“Saya malu sebenarnya anak-anak sudah boleh baca komen, jadi saya memang berazam mahu menjadi lebih matang. Sebenarnya hidup tanpa kontroversi ini lebih seronok.
“Saya berterima kasih kepada isteri yang banyak memberi tunjuk ajar selain dalam masa yang sama permulaaan untuk berubah ini memang sudah lama. Malah saya juga berjanji tidak mahu riak-riak lagi,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu ketika ditanya mengenai rakan baiknya yang juga ahli perniagaan, Nur Sajat yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Aliff bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Sentiasa mendoakan yang terbaik, jelasnya ini bukan masanya untuk warganet terus mencari salah Sajat.
“Kita tidak tahu apa yang dilaluinya, malah jika saya berada di tempat dia kini pasti saya juga berasa takut. Memang kami tiada komunikasi langsung sejak apa yang berlaku jadi saya juga tidak tahu apa keadaan terkininya.
“Cuma saya doakan yang terbaik untuk Sajat selain jangan kita terus terusan memberi tekanan kepada Sajat. Soal hukuman biarlah pihak berkuasa yang tentukan,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Aliff yang kini merupakan duta untuk produk antarabangsa Gintell mengakui teruja apabila kali pertama dilantik menjadi duta bukan produknya sendiri.
“Ini kali pertama dilantik menjadi duta untuk bukan produk sendiri. Memang seronok sebab ini bagai satu penghargaan buat saya. Saya anggap ini adalah hadiah buat anak-anak dan isteri,”jelasnya.