Geleng kepala Poklip apabila mendengar keluh kesah seorang rakan media yang mengadu tentang sikap penganjur yang tidak tahu menghargai media. Yalah, Poklip pun pernah melalui pengalaman sama.
Kisahnya dia ada menghadiri satu majlis pelancaran yang dihadiri seorang VIP namun sadisnya, layanan terhadap media sungguh mengecewakan. Kasihan juga Poklip mendengar ceritanya.
Bukannya nak harap layan kelas pertama pun daripada penganjur, cuma kalau sampai kerusi untuk sesi sidang media pun tidak disediakan, maka apakah itu? Berdirilah rakan-rakan media sepanjang sesi sidang media.
Malah, usai majlis tersebut, media dibiarkan terkontang-kanting seperti anak ayam kehilangan mak. Tiada jamuan atau ucapan bye bye daripada penganjur. Semuanya sibuk melayan tauke dan VIP yang hadir.
Sedih juga bila ada lagi penganjur yang bersikap sedemikian. Di tahun 2021, media dan penganjur seharusnya bersama saling membantu. Namun lain pula kisahnya dengan penganjur yang satu ini.
Tak apalah, pesan Poklip andai ada jemputan lagi, lebih baik cadangkan sesi zoom sahaja. Tak perlu pun buat majlis. Tak perlu bazir duit sewa kerusi meja dan makanan semua. Lebih senang bukan?