KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Ashraf Muslim, 40, menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua kru produksi dalam penghasilan video iklan judi online yang tular sejak semalam.
Pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu berkata, tindakan sedemikian telah melanggar sensitiviti Islam dan memalukan negara.
“Kepada pihak berkuasa tolong ambil tindakan kepada mereka yang terlibat dalam video ini. Daripada yang buat idea, klien yang terlibat, pihak produksi, barisan pelakon, penyanyi dan krew dan mereka yang terlibat dengan video ini.
“Perbuatan ini memang tidak boleh dimaafkan oleh masyarakat Islam,” tegasnya menerusi Instagram miliknya.
Dalam perkongsian sama, pelakon itu menyifatkan video tersebut melampau kerana mengajak umat Islam melakukan perkara haram di bulan suci, apatah lagi barisan pelakon dalam video itu turut menyanyikan lagu Hari Raya sebagai muzik latar belakang.
“Makin menjadi-jadi manusia sekarang, secara terang-terangan mengajak orang ramai buat dosa pada bulan Ramadan. Kurang ajarlah siapa yang terlibat dalam pembikinan video ni. Takkan tak tahu video ni fasal apa? Judilah! Judi itu haram, mana iman dan akidah? Ini negara Islam jangan buat onar macam ini!
“Aku tak tahulah, yang berlakon dalam video ni sedar ke tak sedar apa yang dinyanyikan itu. Memang tak fikir panjang bila buat semua ni. Kemudian berani pula nak promosi macam ini. Kalau lah kamu ini Islam, menjawablah dengan Allah SWT,” tulisnya.
Tegas Ashraf lagi, dia terpanggil untuk bersuara dengan memuat naik hantaran itu bukan untuk mempromosikan perkara haram tersebut tetapi untuk memberitahu masyarakat bahawa inilah cara halus untuk merosakkan Islam.
Iklan berjudul GDBet333 Hari Raya berdurasi dua minit itu mengajak orang ramai meraih wang berganda melalui perkhidmatan syarikat mereka sebagai alternatif dana untuk berhari raya.
Bagaimanapun hasil carian Utusan Malaysia mendapati video yang dimuat naik di saluran YouTube itu sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.