PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara, Adibah Noor masih lagi berteka-teki bila sebenarnya dia bersedia melancarkan album studio ketiganya, Jiwa Sentuh Jiwa walaupun sudah lima tahun album itu diperam.
Tidak mampu menduga apa yang berlaku meskipun ada perancangan merealisasikannya, kali ini, dia memberikan alasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak menentu menyebabkan pelancaran album berkenaan sering tergendala.
Pun begitu, pelantun suara Terlalu Istimewa itu menjangkakan pelancaran album tersebut akan diadakan pada September tahun ini.
“Setiap kali saya mahu melancarkannya, PKP berkuatkuasa dan saya terpaksa menggunakan segala simpanan untuk melalui kehidupan di waktu PKP dan begitulah seterusnya. Apabila wang sudah cukup, tiba-tiba PKP lagi.
“Jadi sekarang saya tengah mengumpul semula wang untuk melancarkan album ini dan harap tiada lagi PKP. Saya pun tidak tahu ini sudah tahun yang keberapa, cuma itulah sasarannya. Sama ada menjadi kenyataan, saya berserah kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Album Jiwa Sentuh Jiwa tercetus sejak 2016 dan merupakan album duet penuh dalam bentuk fizikal dan digital.
Memuatkan lapan lagu, album itu turut menyaksikan Adibah berduet dengan beberapa penyanyi tempatan antaranya Anuar Zain, Atilia, Dina Nadzir dan Sam Innuendo.
Album itu diterajui sebuah lagu berjudul sama duet dengan Misha Omar dan mendapat sentuhan komposer terkenal, Aubrey Suwito serta lirik ditulis oleh Ad Samad.
Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, lagu Jiwa Sentuh Jiwa pernah dijadikan runut bunyi bagi telefilem Mati Tunggu Sekejap arahan Rashid Sibir.
Ditanya kenapa tidak melancarkan Jiwa Sentuh Jiwa sebagai single terlebih dahulu, alasannya disebabkan album tersebut sudah siap sepenuhnya dan lebih baik dilancarkan secara sekali.
“Kalau mahu lancarkan single sahaja nanti kena kumpul duit balik nak lancarkan album penuh pula. Jujurnya, tidak tahu nak buat apa sebab saya tiada pasukan yang menguruskan album ini. Penyanyi lain mereka ada pasukan sendiri tetapi untuk saya, semua diuruskan sendiri,” katanya.