KUALA LUMPUR: Pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 43, menasihatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan dengan doktor pakar jika mempunyai gejala gangguan mental.
Menurut Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia, turut mendedahkan sebelum ini dia pernah mengalami masalah kemurungan selepas bersalin sepanjang tempoh enam bulan.
“Waktu itu tak tahu yang saya ada masalah. Tiba-tiba tak boleh tidur, badan menggeletar dan berpeluh serta rasa memang ada sahaja yang tidak kena. Tapi disebabkan saya ada pemahaman tentang kesihatan mental, saya terus pergi jumpa pakar dapatkan rawatan perubatan dan terapi bercakap sebagai tempat meluah perasaan,” ceritanya.
Dalam perkongsian video dimuat naik oleh pengacara cantik itu, tegasnya, mereka yang mengalami gangguan mental perlu mendapatkan dua kaedah untuk penyembuhan.
“Tak semua orang tahu mereka ada masalah. Manakala yang tahu mungkin sekadar pergi jumpa doktor pakar dan ambil ubat sahaja.
“Jadi macam mana nak kesan punca gejala tersebut? Nanti mungkin dia akan lebih cenderung masuk balik ke fasa kemurungan ataupun lain-lain. Rawatan perlu konkrit dan jangan tunggu penyakit sudah memudaratkan diri,” katanya.
Sebelum ini, ramai artis popular antaranya Haqiem Rusli, Diana Danielle dan terkini, Janna Nick mendedahkan mereka tertekan serta memupnya masalah mental. Janna juga mendedahkan dia pernah cuba membunuh diri beberapa kali sebelum ini.