KUALA LUMPUR: Pelakon, Farisha Irwayu, 52, disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang sejak 19 April lalu.
Pelakon itu membuat ujian calitan selepas mengalami batuk dan demam yang berterusan selama seminggu sebelum disahkan positif.
“Assalamualaikum semua… Saya telah disahkan positif Covid-19 petang Isnin. Keadaan sekarang masih batuk kuat, sakit belikat belakang pinggang. Sesiapa sahaja di luar sana kalau ada sikit-sakit, batuk atau demam jangan ambil remeh. Cepat-cepat buat ujian calitan ya.
“Jangan jadi macam saya, dah seminggu batuk demam tak kebah sampai hilang deria bau dan rasa, baru nak buat ujian calitan. Rupa-rupanya Covid-19. Sama-sama kita jaga kita ya,” kata Farishah menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Dalam perkongsian sama Farisha memohon orang ramai mendoakan kesihatannya agar cepat sembuh dan menggesa sesiapa yang ada kontak rapat dengannya bermula 7 April lalu segera melakukan ujian calitan.
“Saya dipakaikan gelang berwarna biru dan putih sebab Covid-19 tahap tiga. Teruskan berdoa untuk saya ya, keluarga dan sahabat-sahabat maya tersayang.
“Semoga Allah terus beri saya kesihatan yang baik di bulan Allah yang mulia ini. Harap maaf di atas segala kesulitan doakan saya,” tulisnya.
Sementara itu, Farisha turut memaklumkan suaminya Tuan Asmawi Tuan Umar, 46, juga disahkan positif Covid-19 sehari selepas dia dimasukkan ke pusat kuarantin.