Instafamous Nadira Isaac yang memuat naik gambar seksinya bersama Pencetus Ummah (PU) Amin telah memadam gambar berkenaan di instagramnya.
Malah dia juga turut meminta maaf atas keterlanjuran tersebut dan memohon orang ramai mendoakan agar dia kembali ke pangkal jalan.
“Saya telah padam hantaran itu sebagai menghormati PU Amin, saya juga memohon maaf kepada semua yang tersinggung terutamanya PU Amin dan orang ramai.
“Saya akan memperbaiki diri saya dari masa ke semasa dan meminta orang ramai mendoakan kami ke pangkal jalan,” katanya.
Sebelum ini sekeping gambar yang memaparkan PU Amin bersama dua wanita seksi dalam sebuah majlis tersebar meluas setelah ia dikongsi oleh seorang daripada wanita tersebut di dalam akaun media sosialnya.
Tampil menjelaskan, Amin berkata, dia hadir ke majlis berbuka puasa itu sebagai tetamu jemputan untuk membacakan doa selain memberikan tazkirah maghrib sebelum segera pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai imam di sebuah masjid.
“Sebelum pergi pun, saya dah bincang dengan isteri dan rakan-rakan. Semua kata ini peluang untuk berdakwah dan itulah yang saya lakukan semasa berada di majlis berkenaan.
“Depan-depan saya cakap semasa beri tazkirah kepada semua tetamu yang hadir. Saya sentuh mengenai topik pematuhan pakaian, sensitiviti di bulan Ramadan, kuasa dan keampunan Allah SWT, semua nampak gembira dan menerima baik bila dengar ceramah saya.
“Selama ini orang asyik kata saya cuma cakap dan nasihat orang dalam Facebook saja, bila saya turun padang macam ini dan bukannya cuma berada di surau atau masjid, pun kena kecam juga? Macam mana ini?” katanya.