KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi terkenal, Nur Fazura, 37, terkejut apabila namanya menjadi trending nombor satu di platform media sosial Twitter tanpa mengetahui apa puncanya.
Menurut Fazura, hanya setelah dimaklumkan oleh teman-teman dan kemudian memeriksanya sendiri baharu dia menyedari tentang perkara tersebut.
“Semalam seharian saya cuti dan memang sibuk menjaga Fateema di rumah dan tak tengok sangat telefon. Saya terkejut bila diberitahu nama saya trending di Twitter.
“Saya ingat ciapan mengenai lemang yang dimuat naik semalam yang menjadi puncanya. Saya fikir adakah saya salah bual mengenai lemang itu atau salah taip ayatnya.
“Tapi semalam, memang saya teringin nak makan lemang lemak-lemak masin. Itu makanan kegemaran saya,” katanya.
Fazura berkata demikian semasa ditemui pada majlis meraikan anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Cahaya Kasih di Suria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi ini.
Majlis yang mendapat kerjasama baik daripada penaja utama, syarikat Bata Malaysia itu adalah sempena meraikan anak-anak yatim tersebut menerusi persiapan sambutan hari raya tidak lama lagi.
Selain itu menurut Fazura, dia juga tidak mengambil tahu selebihnya mengenai apa yang diperkatakan oleh warga net semalam.
“Saya memang tak baca pasal perkara lain. Awalnya memang saya fikir orang jadikan saya bahan jenaka sebab ciapan lemang, itu saja,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura melahirkan rasa gembira dapat bersama-sama meraikan anak-anak yatim pertubuhan tersebut yang sebelum ini kurang mendapat perhatian berbanding pertubuhan atau mana-mana rumah anak yatim lain sedia ada.