KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Deen atau nama penuhnya Nordin Madian, 33, memaklumkan ahli anggota keluarganya positif Covid-19 dan memohon orang ramai mendoakan kesihatan ahli keluarganya di Miri, Sarawak.
“Semalam (kelmarin Isnin) saya dapat berita buruk dan mengejutkan. Selepas adik perempuan saya positif Covid-19 Khamis lepas, mak, ayah, kakak, adik bongsu dan seorang anak buah saya juga positif. Mereka semua duduk serumah.
“Tapi Alhamdulillah mereka tiada gejala dan hari ini (Selasa) akan dipindahkan ke pusat kuarantin. Sama-sama kita doakan semoga mereka cepat sembuh.
“Paling saya risau mak ayah saya. Minta semua doakan ya,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Deen turut berpesan agar kita semua menjaga kendirian diri dan kerap mencuci tangan serta memakai pelitup muka.