KUALA LUMPUR: Kelahiran anak kedua penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ternyata disambut gembira peminat yang rata-rata mendoakan yang terbaik untuk keduanya.
Malah perkongsian gambar bayi yang dilahirkan pada pukul 6.21 pagi tadi oleh abangnya, Asyraf Khalid juga tular di media sosial.
Asyraf yang berkongsi gambar tersebut di Instagramnya turut memuat naik video ahli keluarga menunggu proses bersalin penyanyi nombor satu negara itu.
Rata-rata peminat meninggalkan komen positif dan memuji kecomelan cahaya mata kedua Siti Nurhaliza.
Asyraf turut menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana ibu tirinya telah selamat melahirkan bayi lelaki pagi tadi.
“Alhamdulillah pagi tadi saya terima seorang lagi adik lelaki. Alhamdulillah, bayi sihat dan segalanya nampak baik. Tahniah ayah dan Mak Iti. Syukur segalanya telah berjalan dengan lancar buat Mak Iti.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan Mak Iti dan Ayah untuk membesarkan bayi yang baru lahir ini untuk menjadi anak yang soleh dan anak yang berbakti kepada agama kita, keluarga kita dan seluruh umat Muhammad,” coret Asyraf menerusi Instagram miliknya.