PETALING JAYA: Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mendedahkan anak keduanya, Serina Redzuawan sudah melangsungkan pernikahan di negara jiran baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang di kongsikan melalui laman Instagram miliknya sebentar tadi Chef Wan, turut meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dimaklumkan soal pernikahan itu sebelum ini.
“Dua minggu lalu dia berkeras mahu melangsungkan perkahwinan sebelum puasa. Dia kata, Rina dah nikah di Siam pun Pa.
“Hati saya bagai dipanah petir ketika itu. ‘Nak nikah rumah papa untuk urusan nikah semula di Malaysia sahaja’.
“Terus saya tak jawab apa dia beritahu,”tulisnya.
Menjelaskan tindakan itu turut membelakangkan dirinya, kata Chef Wan dia tidak pernah melarang anaknya itu untuk bernikah.
“Sebagai seorang ayah tentulah apa yang mereka lakukan sangat mengecewakan. Pergi nikah di Siam dah lama tu baru beritahu bapanya, bagus budi bahasa anak jenis begini?” luahnya.
Bagaimanapun sebagai seorang ayah, Chef Wan tetap mengharapkan yang terbaik buat perkahwinan kedua anaknya ini.
“Sekarang ini, suka hati kau orang lah. Kau orang pun dah tua masing-masing tahu dan bertanggung jawab dengan apa yang kau orang lakukan ini semua especially behind my back.
“Sejauh mana awak sudah menyakitkan saya, saya akan tetap telan sahaja. Apa pun saya akan tetap mengharapkan kamu berdua melalui perkahwinan yang bahagia. Pada tahap ini semua ibu bapa juga akan berkongsi perasaan yang sama,” tambahnya.
Sementara itu, Serina melalui Instagram hari ini mengesahkan dia sudah bernikah kali kedua dan turut berterima kasih atas restu bapanya
Serina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010 dan bercerai pada Ogos 2017.