PETALING JAYA: Penyanyi, Azlan Typewriter mendedahkan bapanya kini berada dalam keadaan tenat sejak dua minggu lalu kerana dijangkiti Covid-19.
Bersedia dengan sebarang kemungkinan, jelas Azlan doktor juga tidak memberikan apa-apa harapan untuk bapa kembali sembuh memandangkan keadaan kesihatan bapanya itu semakin merosot.
“Ayah saya memang mempunyai beberapa penyakit lain seperti kencing manis dan buah pinggang. Jadi bila dijangkiti Covid-19 membuatkan keadaannya semakin teruk.
“Doktor sendiri meminta kami sedia dengan sebarang kemungkinan.Sebab dia memang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan yang pada bila-bila masa boleh dicabut. Dalam waktu sekarang saya cuma berharap ibu tiri saya juga kuat berhadapan perkara ini,”katanya lagi.
Kali terakhir bertemu dengan ayahnya beberapa minggu lalu, kata Azlan juga dia juga reda untuk tidak dapat melawat bapanya di hospital memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan .
“Saya ikhlaskan hati jika sudah sampai masanya untuk dia pergi. Tetapi kalau sembuh pastinya kami semua bersyukur.
“Cuma dalam tempoh ini juga kami tidak dapat melawatnya kerana SOP yang ditetapkan,”jelasnya.