PETALING JAYA : Pelawak popular, Shuib menolak dakwaan artis kini merupakan golongan kayangan yang tidak akan dijatuhi hukuman jika melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bercakap melalui pengalaman diri dan isteri, Siti Sarah, dia tidak melihat wujud standard berbeza hukuman di negara ini.
“Sama sahaja, saya dan isteri dikompaun RM1,000 seorang kerana melanggar SOP. Kami mengakui kesalahan dan tidak ada pengecualian dalam menerima hukuman.
“Tetapi kesalahan itu bukan kerana merentas negeri. Sebab soal merentas negeri kami mempunyai dokumen lengkap berkaitan kerja,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika menghadiri majlis berbuka puasa Indigital Music.
Melihat terma golongan kayangan sebagai tidak relevan. Jelas Shuib sendiri sebagai seorang selebriti dia tidak pernah mendapat layanan berbeza.
“Tidak wujud golongan kayangan atau apa. Sebab di mata undang-undang kita semua sama. Termasuklah menteri sekalipun,”jelasnya.
Sementara itu, pada Februari lalu pasangan ini dikenakan kompaun kerana didapati duduk di sebuah meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di sebuah restoran.