KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akma Abdullah berkata, dia belum mengambil keputusan untuk berniqab tetapi mengharapkan perubahan yang terbaik.
Penyanyi yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu berkongsi sekeping foto berniqab di akaun Instagram miliknya sehingga mencetuskan tanda tanya peminat.
“Ada orang tanya Akma dah berniqab ke? Masya-Allah, belum lagi. Tapi saya aminkan sahaja. Apa-apa pun marilah kita perbaiki yang wajib dahulu ya. Insya-Allah… Allah SWT akan sayang,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, ramai yang menyukai dan memuji penampilan Akma. Bukan itu sahaja, perkongsian mengaji dan tadabburnya turut menjadi perhatian umum.
“Di bulan yang mulia ini marilah kita bersama-sama mengejar keampunan dari Allah SWT. Mintalah ampun. Banyak sangat dosa-dosa kita dan tidak terhitung. Bila mana dosa-dosa kita dapat diampunkan Allah, maka semua permintaan kita akan Allah tunaikan, Allahuakbar,” coretnya.