KUALA LUMPUR: Didakwa sudah berkahwin dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, anak sulung penyanyi Datuk Nora Ariffin, Mohamad Syakir Iman Johan menafikan fitnah tidak berasas terhadap ibunya itu.
Menurut Syakir dalam satu hantaran di Twitter, andai kata perkara tersebut benar, dia tidak fikir ia satu keperluan untuk dirinya berbohong atau menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
“Kepada semua peguam, adakah ini (dakwaan Nora bernikah) boleh dianggap satu fitnah? Saya baru bertanya kepada ahli keluarga saya.
“Jika pengguna (pemilik Twitter) tersebut menyatakan bahawa Tan Sri Annuar Musa telah berkahwin dengan Datuk Nora, sila kemukakan bukti atau memang kerja dia untuk cipta fitnah murahan,” tulis Syakir.
Selain itu, menurut Syakir, dia menyedari perkara tersebut sudah tular di semua platform media sosial, namun bertegas menafikan tentang pernikahan yang tidak wujud itu.
“Tidak mengapa kalau anda tidak mengenali siapa ibu saya. Tetapi mengapa perlu saya berbohong mengenai perkara tersebut?
“Ini (pernikahan Nora) memang tidak benar. YB Annuar bukan bapa tiri saya,”katanya.
Terdahulu, timbul satu ciapan oleh seorang pengguna Twitter bernama @zack_rockstar apabila individu terbabit memuat naik satu hantaran mengucapkan tahniah mendakwa Nora telah selamat bernikah dengan Annuar Musa.
“Tahniah @AnnuarMusa kerana memiliki ‘Datuk’ yang istimewa. Dah berkepak kepak kabom. Patut garang bebenor (sangat) sekarang. I like… hurmmm… Aummmm…!!!” demikian ciapan pengguna itu.