PETALING JAYA: Memulakan langkah dalam bidang seni sejak sembilan tahun lalu, nama Aman Nassim mungkin lebih sinonim dengan dunia lakonan. Namun siapa sangka di sebalik bakat lakonan yang dimilikinya Aman juga sudah meneroka dunia nyanyian sejak 2014.
Walaupun status sebagai seorang penyanyi kini masih lagi belum memuaskan, ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencuba.
Melihat kehadiran tahun 2021 sebagai permulaan yang baik, Aman kini muncul dengan lagu keempatnya berjudul Cinta Terakhir. Merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Bemby Noor, jelas Aman atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nassim ini adalah langkah awal untuk berada dalam pasaran Indonesia.
“Kenapa Bemby? Dia adalah komposer yang menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan. Lagu ini juga dirakamkan di sana dan menjadi kolaborasi pertama saya dengan Bemby. Macam dikatakan tadi, saya memang perlukan sentuhan komposer Indonesia, sebab asalnya nak pasarkan lagu ini di sana.
“Walaupun sekarang masih tidak dapat ke sana, tapi masih boleh pasarkan lagu ini di sana menerusi kerjasama syarikat rakaman. Pendek kata, lagu ini adalah langkah awal untuk saya masuk pasaran muzik sana,” katanya.
Sementara itu kata Aman dia juga turut bersyukur apabila lagunya ini dipilih menjadi lagu tema bagi drama Kisah Cinta Rumi yang kini ditayangkan di Slot Lestary, TV3.
“Apabila lagu ini menjadi lagu tema drama, ia adalah langkah awal untuk promosikan lagu ini dulu. Harapnya tahun ini berjaya seterusnya saya dapat keluarkan lebih banyak single untuk kerjasama dengan Indonesia atau negara lain.
“Insya Allah, jika lagu ini berjaya di sana dan saya sudah bersedia untuk ulang alik. Sebab ini yang memang saya rancang pun. Cumanya, tak boleh ke mana-mana lagi. Itu yang agak susah sikit,” harapnya.