Adakala memang kena tegur, biar beradab - Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Adakala memang kena tegur, biar beradab – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Siapa sangka, dalam kelembutan raut wajah dan keperibadian Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi tersohor negara ini terpaksa membuka mulut menegur segelintir warganet yang dianggap keterlaluan dalam mengkritik hasil kerjanya.

Menurut Siti, teguran sebelum ini adalah khusus buat mereka yang kononnya mengaku ahli kelab peminat Sitizoners tetapi hakikatnya tidak.

“Ada masa saya perlu ingatkan mereka, tetapi tidaklah dengan cara yang kasar kerana memahami situasi semua pihak.

“Saya tahu ada pihak yang mengatakan mereka ahli Sitizoners tetapi sebenarnya tidak dan mengambil peluang atau platform itu untuk menghangatkan sesuatu isu atau keadaan.

“Bila diperhatikan, adakala memang saya kena tegur juga supaya semua faham sebab setiap apa yang kita lakukan tentu kena ada adabnya bukan?” katanya.

Siti berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran Wafer Emas Edisi Terhad Eksklusif Jubli Perak Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, hari ini.

Ulasan itu dibuat oleh Siti berkenaan isu pakaian, rekaan kulit albumnya berjudul ManifestaSITI2020 yang dikatakan mendapat kritikan ramai sehingga kini.

Menurut mereka, kulit album tersebut kelihatan tidak bersesuaian dengan status Siti selain rekaan grafik kulit album tersebut yang disamakan dengan muka hadapan majah hartanah.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kolaborasi bersama YaPEIM itu, kedua-dua pihak mencipta sejarah dengan memperkenalkan wafer emas 999 satu gram, lima gram dan dinar emas (4.25 gram).

“Keluaran YaPEIM Gold ini adalah langkah untuk menggalakkan masyarakat terutama dalam kalangan peminat saya untuk menjadikan wafer emas ini koleksi peribadi sekali gus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.

“Pihak YaPEIM mensasarkan jualan 30,000 keping bagi varian satu gram, manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra tempahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya