KUALA LUMPUR : Bergambar bersama dua wanita seksi menampakkan aurat di bulan Ramadan, Pencetus Ummah (PU) Amin, 31, menganggap perkara tersebut tidak ada salahnya memandangkan dirinya bukan sedang berpelukan atau menyentuh wanita-wanita tersebut.
Menurut Amin, dia juga sedar gambar yang dirakam oleh individu tertentu pada malam Sabtu lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota itu akan dimuat naik dalam media sosial dan seperti diduga akan mendapat kecaman orang ramai.
“Betul, pakaian mereka tidak menutup aurat. Tapi tak akanlah bila orang nak bergambar saya nak kata ‘tak boleh, awak ahli neraka’? Samalah juga jika ada golongan mak nyah yang nak bergambar, tak akan saya nak cakap begitu?
“Orang perli dan sindir saya senyum dalam gambar itu. Habis, dah namanya ambil gambar, tak akanlah saya nak buat muka marah pula?
“Pula itu, ada kalangan warganet yang komen itu sengaja jadikan ia bahan perbalahan parti politik pula,”katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, sekeping gambar yang memaparkan dirinya bersama dua wanita seksi dalam sebuah majlis tersebar meluas setelah ia dikongsi oleh seorang daripada wanita tersebut di dalam akaun media sosialnya.
Tampil menjelaskan, Amin berkata, dia hadir ke majlis berbuka puasa itu sebagai tetamu jemputan untuk membacakan doa selain memberikan tazkirah maghrib sebelum segera pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai imam di sebuah masjid.
“Sebelum pergi pun, saya dah bincang dengan isteri dan rakan-rakan. Semua kata ini peluang untuk berdakwah dan itulah yang saya lakukan semasa berada di majlis berkenaan.
“Depan-depan saya cakap semasa beri tazkirah kepada semua tetamu yang hadir. Saya sentuh mengenai topik pematuhan pakaian, sensitiviti di bulan Ramadan, kuasa dan keampunan Allah SWT, semua nampak gembira dan menerima baik bila dengar ceramah saya.
“Selama ini orang asyik kata saya cuma cakap dan nasihat orang dalam Facebook saja, bila saya turun padang macam ini dan bukannya cuma berada di surau atau masjid, pun kena kecam juga? Macam mana ini?” katanya.
Dalam pada itu, kata Amin lagi, dia juga telah pun meminta agar gambar tersebut diturunkan daripada pemilik akaun media sosial tersebut namun tidak pasti sama ada ia sudah dilakukan atau tidak.
Selain itu, dia juga tidak menolak wujudnya andaian jika gambar itu digunakan bagi tujuan melonjakkan jenama produk tertentu tanpa pengetahuannya selain mendoakan semua yang terlibat mendapat hidayah.