KURANG sebulan bercerai, pelakon sensasi Zarina Anjoulie, 34, kembali berkongsi berita gembira apabila menjelaskan dia kini sudah kembali bersama bekas suami, Eilyas Azhar.
Berkongsi hantaran video di Instagram miliknya baru-baru ini, Zarina bersama Eilyas dilihat berada di pekarangan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan selain mengeluarkan kenyataan yang mereka kini sudah kembali rujuk.
Selain bersyukur dengan status terkini hubungannya dengan Eilyas, Zarina turut sempat berterima kasih kepada pengikutnya yang sentiasa memberikan sokongan selain turut berdoa untuk kebahagiaan dirinya.
Sementara itu menjadi antara selebriti pilihan dalam laman sosial, perkembangan ini turut menarik perhatian ramai rakan selebriti.
Sama seperti peminat Zarina, rakan selebriti juga tidak terkecuali mendoakan yang terbaik buat pasangan ini.
Terdahulu Zarina mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan dia dan Eilyas yang dikahwini pada 17 Julai tahun lalu sudah bercerai kerana tidak sehaluan.