Acap kali memilih nama besar untuk berkolabarasi, timbul tanggapan mengenai duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta ini sengaja mencari ruang populariti segera sahaja.
Selepas Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, kini Kmy dan Luca memilih Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah untuk bekerjasama melalui lagu Neraca. Menjelaskan apa yang berlaku ini seakan impian menjadi kenyataan, sebagai orang baharu dalam industri dua sahabat ini sentiasa bersyukur dengan peluang yang diberikan.
Menolak tidak yakin diri sebagai sebab, ketika ini jelas Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin ada keperluan untuk mereka menggunakan landasan disediakan Universal Music.
“Sejak dahulu lagi memang impian kami, untuk dapat berkongsi ruang berada dalam satu lagu yang sama dengan penyanyi-penyanyi hebat ini. Dahulu kita tahu bukan mudah sebab tiada laluan untuk menjalinkan kerjasama.
“Jujurnya sebagai pemuzik siapa yang tidak mahu kalau ada peluang sebesar ini. Tetapi bila apa yang kami impikan ini menjadi, ia lebih mudah dengan bantuan pihak Universal Music.
“Kami hanya gunakan peluang ini sebaik mungkin. Sebab kita tahu melalui pengalaman ini mampu memberi peluang kepada kami menimba lebih banyak ilmu dalam bidang muzik.
“Jadi tidak timbul kenyataan tidak yakin diri atau sebagainya memandangkan kami hanya mahu menghargai rezeki ini. Lebih-lebih lagi kita tahu tidak mudah mendapat ruang sebesar ini,” katanya.
Neraca sudah disiapkan sejak 2018 lalu.
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Jamal, kata Luca lagi sebagai orang yang membesar dengan lagu-lagu Raja Pop ini, mereka megakui ada perasaan berbeza pada pertemuan kali pertama. Namun selepas melalui proses rakaman, siapa tahu Jamal yang selama ini dianggap garang cukup mudah memahami kehendak mereka sebagai pencipta lagu.
“Membesar dengan lagu-lagunya, kami sangat menghormati kelebihan dimiliki penyanyi hebat ini. Saya fikir Jamal adalah seorang yang serius selain garang. Pertemuan pertama untuk sesi rakaman juga membuatkan kami gementar sebenarnya.
“Namun apa yang difikir itu meleset. Jamal cukup sempoi dan merendah diri. Beliau suka memberi nasihat dan kata-kata semangat.
“Sikapnya yang ramah turut membuatkan proses rakaman lagu ini berlangsung dengan lebih mudah,” katanya.
Melihat variasi lagu yang kini lebih memilih unsur cinta, ternyata ada yang berbeza mengenai buah tangan baharu ciptaan dua anak muda ini. Mereka lebih tertarik dengan kisah realiti. Jelas Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, membesar dikelilingi masalah sosial mendorong mereka berkongsi nasihat melalui lagu.
“Kami akui memang lebih puas mencipta lagu-lagu berunsur kehidupan yang kita tahu ini adalah realiti yang sedang berlaku. Masalah-masalah sosial yang ada ini berada dalam masyarakat kita. Lagu seperti ini mudah difahami masyarakat sebab ia berkaitan dengan realiti kehidupan.
“Selain apa yang ada dalam lagu ini melalui pemerhatian sendiri, kami juga turut mengambil pengalaman orang lain untuk disampaikan dalam lagu-lagu yang dicipta. Apa yang penting mesej yang mahu disampaikan itu diharap mampu diterima pendengar sendiri,” kongsinya.
Penggunaan bahasa-bahasa indah dalam lagu yang dicipta juga turut menarik perhatian. Mengakui ada sebab jelas untuk dia dan Luca sendiri tidak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain. Menjadi impian mereka bersama untuk melihat lagu-lagu kita berada persada dunia.
“Berada di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum kita tahu sejauh mana pun kita pergi bahasa sendiri tetap di hati. Jadi tidak timbul persoalan perlu campur bahasa untuk memastikan lagu itu diterima. Lihat sahaja bagaimana K-Pop kini diterima dunia. Ini juga menjadi impian kamu untuk lagu-lagu bahasa kita diterima masyarakat dunia suatu hari nanti.
“Ikutkan memang seronok bila ada pendengar yang menghantar pesanan bertanyakan makna perkataan dalam lagu-lagu kami,” katanya.
Melihat kerjasama dengan penyanyi muda kini sebagai sesuatu yang perlu, bagi Jamal sendiri dia tidak pernah meletakkan ego sebagai cara untuk menutup ruang kerjasama. Jelasnya melihat kemampuan Kmy dan Luca sendiri, sebagai penyanyi lama dia yakin Neraca mampu pergi lebih jauh.
“Mendengar lagu ini saya yakin mesej yang mahu disampaikan adalah sesuatu yang baik untuk pendengar. Saya fikir jika ini adalah sesuatu yang baik mengapa tidak.
“Dalam konteks kerjasama dengan penyanyi muda kini, bukan sesuatu yang pelik. Kami saling memerlukan memandangkan yang muda lebih faham kehendak pendengar kini. Merupakan kerjasama kali pertama dengan mereka tidak dinafikan apa yang ditonjolkan membuktikan keduanya sangat berbakat,” katanya. Mereka bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 mendendangkan lagu
Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita.
Berkongsi tips menjalinkan kerjasama dengan penyanyi muda, bagi Jamal sendiri sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima teguran ternyata memudahkan proses rakaman lagu ini.
“Bila melangkah masuk ke studio sahaja, saya meletakkan diri pada tahap yang akan menerima segala teguran. Macam Luca sendiri bila menegur suara saya, memang akan tertanya juga bahagian mana yang tidak kena, tetapi kita kena hormati pendapat dia sebagai pencipta lagu.
“Sebagai orang lama saya kira pemilihan saya untuk bekerjasama, sebagai suatu penghormatan.
“Bukan mereka sahaja yang dapat belajar daripada saya, tetapi proses itu berlangsung dua hala yang mana saya juga turut belajar sesuatu baharu daripada mereka berdua,” ujarnya.