SUDAH hampir setahun kita berkurung di rumah dek Covid-19. Daripada rasa suka dapat berkumpul anak beranak kepada rasa gusar memikirkan masa depan.
Khususnya bagi anak yang akan menduduki peperiksaan utama.
Bagi saya yang memiliki tiga anak, gusar itu kian terasa. Sekolah akan dibuka beberapa minggu sahaja.
Yang bongsu akan masuk ke tahun dua pada sesi persekolahan akan datang, belum pun boleh membaca dengan lancar. Tapi saya tengok dia ‘selamba’ saja. Lebih ralit membelek telefon daripada buku.
Anak sulung pula akan mengambil peperiksaan utama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pun sama.
Sebagai suri rumah dan ibu tunggal pula, tidak banyak dapat saya bantu melainkan memberi nasihat.
Sekali marah, sekali itulah baca buku, selebihnya tidak. Mungkin salah saya memberikan telefon bimbit kepada anak-anak tetapi kelas berlangsung secara dalam talian. Mana mungkin tidak dibelikan telefon?
Saya berharap apabila sesi persekolah bermula, guru akan memberi lebih banyak latih tubi bagi memastikan anak saya dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran.
Pada saya kerja kursus yang perlu merujuk internet mungkin tidak sesuai lagi bila sekolah dibuka.
Maria Abdul
Selangor
Rancangan televisyen banyak cerita hiburan
Saya dapati rancangan di televisyen hari ini, banyak menumpukan aspek komersial semata-mata berbanding pendidikan.
Drama yang ada banyak dialog maki hamun dan penggunaan bahasa yang kasar. Anak saya yang berusia lapan tahun pun sudah pandai bermain ‘mak-mak’ dengan dialog ‘aku ceraikan kau talak 3’. Sedih sungguh.
Cerminan diri adalah menerusi bahan yang kita baca dan tonton. Bagaimana generasi masa akan datang kalau sekarang mereka dihidangkan dengan drama dengan dialog sedemikian?
Saya rindukan drama Oshin dan Opah. Nilai kekeluargaan dan penghargaan amat tinggi dalam drama sedemikian. Pihak televisyen perlu ambil peduli pandangan saya ini.
Hany Ibrahim, KL
———————
Ingin luahan dan pandangan anda didengari? Emelkan ke [email protected]