NILAI dan corak batik sememangnya dekat di hati masyarakat Melayu. Bagi wanita ia antara pakaian harian sama ada di pakai di rumah atau digayakan ke acara rasmi. Namun hari ini batik tidak sekadar produk tempatan. Ia semakin dikomersialkan hingga ke peringkat antarabangsa.
Tidak terkecuali bagi Mohd Yusuf Zaki Yaacob, 32. Beliau yang mesra disapa Iskandar, menjadikan perusahaan pembuatan produk kraf batik sebagai mata pencarian utamanya.
Bermula hanya kira-kira lima bulan lalu, produk kraf batik milik Iskandar atas nama penjenamaan Asiansparks telah mendapat sambutan hangat di pasaran secara dalam talian
Antara produk kraf batik diusahakan usahawan kreatif ini adalah sarung bantal, alas meja, lanyard, alas pinggan, coaster, pouch beg, set beg penyimpanan sudu dan garfu, buku nota dan banyak lagi.
Menurut anak kedua daripada lima beradik ini, penglibatannya dalam perusahaan produk kraf batik bermula secara kebetulan.
Sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu, Iskandar telah diberhentikan kerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah kolej swasta di ibu negara.
“Pada bulan Januari lalu, saya baru mula bekerja di kolej swasta tersebut. Malangnya setelah kerajaan menetapkan PKP sejak Mac lalu, banyak syarikat yang terkesan dan tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerja. Jadi saya diberhentikan.
“Sehinggalah pada bulan Julai lalu, saya nekad untuk menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perusahaan produk kraf batik ini,” kata Mohd. Yusuf Zaki kepada Utusan Malaysia di Segamat baru-baru ini.
Katanya, pada mulanya, dia dan rakannya, Jesinta Rani, 32, merancang menghasilkan gabungan dua elemen dan motif tekstil berbeza dalam satu produk iaitu sari dan batik. Namun kerana permintaan terhadap produk kraf batik lebih tinggi, mereka membuat keputusan memberi fokus kepada kraf batik. Ia diusahakan oleh Mohd. Yusuf Zaki secara sendirian di rumahnya di Kampung Sulir, Pekan Jabi, Segamat kerana Jesinta mempunyai komitmen lain.
Laman sosial platform pasarkan produk
Menyahut seruan kerajaan untuk lebih banyak bekerja dari rumah, Yusuf memaksimumkan penggunaan media sosial untuk memasarkan produk kraf batik Asiansparks melalui laman sosial Facebook dan
Instagram dengan carian nama Iskandartiamzon.
Tidak ketinggalan juga, produk kraf batik Asiansparks ini turut boleh didapati dari laman jualan langsung di atas talian iaitu Shopee, Lazada, dan Carousal atas nama carian Iskandar Tiamzon.
Anggaran harga bagi produk kraf batik Asiansparks ini bermula dari serendah RM5.50 sehingga RM45.50 bergantung kepada jenis produk, saiz serta reka bentuknya.
“Hasil jualan pelbagai produk kraf batik Asiansparks ini mampu memberi pulangan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan mengikut permintaan pada satu-satu masa,” tambahnya.
Menurut anak kelahiran Segamat itu, baru-baru ini Asiansparks menerima tempahan 40 unit coaster gelas untuk dijadikan cenderamata bagi satu acara melibatkan agensi kerajaan.
Selain itu, dia turut menyertai Kursus Pembangunan Kemahiran Komuniti pada 25 hingga 28 Oktober lalu di daerah Tangkak bagi mendalami ilmu kemahiran tekstil dan pemasaran produk kraftangan.
Ujarnya, dia mendapatkan bekalan kain batik daripada pengusaha kain batik di sekitar pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan di samping tidak ketinggalan juga bekalan kain batik diperolehinya dari Sarawak.
Pilihan corak serta kehalusan seni kraf batik olahan Asiansparks dapat dilihat daripada proses awal pembuatan hinggalah apabila ia dipakai. Ia menampilkan keanggunan dan kesegakan si pemakai seperti pouch beg dan gelang tangan.
Berbekalkan minat yang mendalam dan bakat yang meluas dalam bidang kraf, Mohd. Yusuf Zaki berkata, dia mula berjinak dalam seni itu sejak di zaman pengajian tinggi dengan membuat gubahan bunga sama ada untuk hadiah, hantaran, guest book, dekorasi perkahwinan dan sebagainya.
Dia juga pernah memiliki sebuah butik perkahwinan yang diusahakan kira-kira dua tahun lalu di Semenyih.
Walaupun tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan Asiansparks, Mohd. Yusuf Zaki prihatin terhadap kesusahan anak muda di sekitar Segamat.
Beliau membantu dengan mengupah mereka sebagai model produk kraf batik Asiansparks.
“Selain membantu anak muda ini dengan mengupah mereka sebagai model produk Asiansparks, saya juga berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sepanjang PKP.
“Ini supaya anak muda tidak mudah berputus asa dan terus bersemangat mencari rezeki. Di mana ada usaha, di situ ada rezeki,” katanya.
Usaha Mohd. Yusuf Zaki memartabatkan industri batik dan barangan kraftangan tempatan wajar disokong oleh pihak kraftangan serta pelancongan daerah Segamat memandangkan daerah itu masih kekurangan usahawan muda yang berbakat dalam penghasilan kraftangan terutama kraf batik.
Rancangan dan harapan beliau adalah melebarkan sayap Asiansparks dengan mewujudkan hab kraf batik di daerah Segamat.
“Selain menjana pendapatan, hab ini dapat membantu anak muda di daerah ini dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.
“Walaupun masih berdepan Covid-19 tetapi dalam dunia tanpa sempadan kini dan dibantu oleh pihak berwajib, tidak mustahil cita-cita ini akan tercapai satu hari nanti.” katanya.