BARU sahaja berkahwin kali kedua Februari tahun lalu, Kekda sebenarnya mendapat khabar perkahwinan pengacara dan penyanyi, Mimie Haris sudah terlerai di tengah jalan. Pada mulanya Kekda teragak-agak juga mahu bertanyakan soalan ini kepada empunya badan.
Tetapi mengenali anak seni kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak dinafikan dia seorang yang sangat tenang. Tanyalah apa juga dia akan cuba memberikan jawapan yang mudah difahami. Kekda akui ini sebab pernah melalui pengalaman yang sama dengan Mimie, jadi senang cerita dia seorang yang jujur.
Cuba mencari kesahihan di sebalik desas- desus ini, Kekda terus bertanyakan Mimie mengenai status sebenar dirinya.
Agak lewat memberi jawapan pada mulanya, akhirnya Mimie akur dan menjawab dia sebenarnya kini kembali membawa status solo.
“Memang benar kami tidak lagi bersama. Perpisahan yang berlaku atas kehendak masing-masing dan semuanya berlangsung dalam keadaan baik.
“Itu sahaja yang boleh saya kongsi buat masa ini, sebab persoalan lain akan saya jawab dengan lebih jelas pada Februari nanti. Kenapa bulan depan, sebab semuanya juga akan selesai pada waktu itu,”katanya yang turut menjanjikan kejutan berbeza.
Dua kali cuba membina bahagia dalam perkahwinan, sebagai wanita kongsi Mimie, dia juga mempunyai impian yang sama seperti wanita lain. Namun sebagai seorang manusia dia perlu akur dengan setiap ketentuan.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan saat ini saya berada dalam fasa yang cukup bahagia sebagai seorang wanita. Perceraian sudah berlaku, mahu atau tidak saya tetap teruskan kehidupan,”katanya.
Ditanya sama ada ada rasa trauma untuk dirinya kembali bergelar isteri suatu hari nanti, nampaknya Mimie cukup optimis dalam mencari cinta.
“Kalau ditakdirkan saya kembali berkahwin, saya akan terima. Cuma buat masa ini untuk menerima orang baharu itu mungkin bukan masanya lagi,”katanya.
Itu antara perkongsian yang sempat Kekda rakamkan dengan Mimie untuk kali ini. Jadi rasanya sudah terjawab lah mengapa tiada gambar istimewa dalam Instagram Mimie selama beberapa bulan ini ya.
Kata Mimie lagi bukan niatnya untuk berahsia, cuma dia memerlukan waktu yang sesuai untuk berkongsi cerita.- MINGGUAN MALAYSIA