Poklip sebenarnya tak nak ambil port kalau ada artis yang suka menayang keseksian demi meraih populariti. Bukan apa, selalunya artis (artis ke?) macam ini tak akan bertahan lama. Suam-suam kuku hingga ke sudah.
Paling-paling pun orang akan bercakap tetapi produk seni sendu. Mana tidaknya, rasanya bila ramai yang mengecam mesti produser agak ragu-ragu untuk menawarkan dia watak. Takut drama tak laku nanti.
Cumanya, ramai yang datang bertanya kepada Poklip kenapa ada seorang pelakon ini seksinya tidak boleh dibawa berbincang. Suka menayang aset-aset yang ada. Malah, makin dikecam makin menjadi-jadi.
Poklip pun tak tahu nak jawab apa sebab tidak kenal dia secara peribadi. Namun, jika dinilai menerusi gambarnya, memang dia seorang yang tidak kisah andai warganet mengecam dan ‘membenci’. Hidup perlu diteruskan!
Kita pun tidak dapat menilai hayat hidup seseorang dalam industri seni, cuma Poklip harap sangat pelakon itu boleh terbang tinggi dengan bakat seni dan bukan sekadar cerita sensasi pasal seksi semata.
Bukan apa, niat dalam industri seni untuk bergelar pelakon seharusnya tidak disulam dengan kontroversi atau cerita sensasi yang akhirnya membawa padah kepada langkah kita. Tetapi sekali lagi, siapa kita untuk meramal.
Mana tahu, kerana keseksiannya, tawaran datang bersilih ganti dan percaturannya menjadi? Kita doa yang baik-baik sahajalah. -MINGGUAN MALAYSIA