RASANYA kalau sebut nama artis lelaki ini, ramai yang akan terpinga-pinga. Nak kata dikenali pun macam tidak, kalau nak kata popular lagilah tidak. Maka, anggap sahaja dia pendatang baharu ibarat baru panas keluar ketuhar.
Cerita ini disampaikan seorang rakan Poklip yang geram dengan sikap penyanyi ini. Mana tidaknya, sudahlah awak itu baru hendak berjinak dalam industri tetapi sudah pandai paksa rakan media keluarkan artikel tentang dia.
Eh! Sekali nak tanya, awak siapa ya? Bukan kita hendak menafikan kewujudannya malah tidak sama sekali kami sebagai media enggan menemu bualnya tetapi, kalau sampai memaksa itu lain macam perangainya.
Kata rakan Poklip, penyanyi ini kerap menghubungi malah boleh dikatakan mengganggu ketenteramnya dengan soalan “bila nak keluarkan story saya?”. Ala dik, sabarlah. Kami juga ada banyak kerja ya.
Lagipun kalau boleh, biarlah awak ada produk seni dahulu. Kalau sekadar mengaku artis hanya selepas jadi wajah tempelan lima saat dalam slot Akasia, tak apalah dulu dik. Sabar ya!
Ramai sahaja artis yang ambil masa untuk ditemu ramah. Bukan apa, artis baharu juga perlu belajar bagaimana untuk menjawab soalan media. Sebab selalunya jawapan yang diberi nampak kurang bijak tau! – MINGGUAN MALAYSIA