Penyelidikan lengkap lebah kelulut - Utusan Malaysia

Penyelidikan lengkap lebah kelulut

'Buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif' ketengahkan penyelidikan lebah kelulut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif Penyelidikan Lebah Kelulut menyediakan informasi berhubung produk hasilan lebah dan lebah kelulut dalam bahasa mudah difahami.

Buku itu adalah hasil kajian kumpulan penyelidik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Razinah Sharif @ Mohd. Sharif.

Dr. Razinah berkata, kumpulan penyelidikan mereka berjaya mendapat geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dana penyelidikan berkaitan madu kelulut.

Katanya, beberapa artikel akademik berkenaan penyelidikan ini diterbitkan, namun masih ada kemahuan penyelidik untuk menjadikan dapatan kajian ini sebagai buku mudah untuk pembaca.

“Jadi, buku ini dihasilkan bagi membolehkan pembaca memahami khasiat madu secara umumnya dari konteks sains kesihatan, seterusnya mendapat ilmu berkaitan produk hasilan lebah kelulut iaitu madu dan propolis serta kesannya sebagai pelindung kepada tekanan oksidatif.

“Tekanan oksidatif tidak terkawal boleh menjurus kepada penyakit kronik seperti kanser, obesiti, jantung dan sebagainya,” katanya dalam majlis pelancaran buku berkenaan baru-baru ini.

Naskhah 106 muka surat itu adalah kolaborasi strategik antara UKM dengan Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd (Bayu Kelulut) sejak 2016, antara lain bertujuan menghasilkan madu kelulut asli untuk kajian saintifik.

POSITIF

Dr. Razinah yang juga Ketua Makmal Bioserasi UKM menjelaskan, walaupun kajian berkenaan dilakukan dalam model kultur sel, namun dapatan kajian positif dan memberangsangkan.

“Ujian klinikal madu masih dalam perancangan. Ia amat perlu bagi menyokong dapatan kajian awal kerana testimoni sahaja tidak cukup bagi menyokong claim madu ini,” katanya.

Penerbitan buku berkenaan diharap dapat membantu pembaca memahami konsep asas dalam sains kesihatan dan memahami potensi sebenar produk hasilan lebah kelulut.

“Penambahan ilmu ini diharap dapat menyumbang kepada asas penyelidikan berkaitan lebah kelulut di Malaysia. Dengan potensi lebah kelulut Malaysia, ia dapat dikembangkan ke luar negara untuk menjadi bahan eksport utama dan komoditi utama Malaysia.

“Jika di barat ada acai berry dan blue berry dikenali sebagai superfood, kelulut juga berpotensi dibangunkan sebagai superfood tempatan,” katanya.

Kelulut adalah spesies lebah tidak berbisa menjadi sebutan sejak projek besar-besaran berkenaan penternakan kelulut dilancarkan pada 2012 oleh Institut Penyelidikan dan Kamajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dalam Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030.

 

(Dari kiri) Abdul Rahim Yusoff, Dr. Abdul Wahab Mohammad dan Dr. Razinah Sharif @ Mohd. Sharif menunjukkan buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif Ketengahkan Penyelidikan Lebah Kelulut.

 

KERJASAMA

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan inovasi UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata, kerjasama penyelidikan antara industri dan penyelidik amat digalakkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk model triple helix iaitu kerajaan, industri dan komuniti.

Katanya, institusi itu mengalu-alukan kerjasama antara industri dengan penyelidik bagi memperkasa industri kecil dan sederhana, seterusnya membantu dalam industri pertanian negara.

“Penghasilan buku penyelidikan ini membuktikan UKM komited membantu industri dan komuniti untuk memahami dapatan kajian yang diperoleh,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Pengerusi Eksekutif Bayu Gagah Marketing (M) Sdn. Bhd., Abdul Rahim Yusoff turut mengalu-alukan usaha dan kerjasama sepadu di antara pihak kerajaan, universiti dan industri dalam meningkatkan serta memperkasakan martabat perusahaan industri madu kelulut ke persada dunia.

“Penerbitan buku ini, diharap dapat memberi lebih kefahaman dan penjelasan mendalam kepada pembaca mengenai kelebihan khasiat madu kelulut dibandingkan dengan madu lain,” katanya.

Di Malaysia, lebah kelulut mempunyai varian spesies yang lebih banyak berbanding lebah madu, mungkin kerana geografi Malaysia yang lembap dan sesuai untuk koloni lebah ini.

Lebah bersaiz kecil mungkin tampak kecil di mata kasar namun madu hasilan lebah ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat berbanding madu lebah biasa terutamanya dari segi kandungan antioksidan dan pelbagai khasiat terselindung di sebalik liquid gold yang dihasilkan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya