Ketokohan Imam al-Haromayn al-Juwayniyy - Utusan Malaysia

Ketokohan Imam al-Haromayn al-Juwayniyy

Kitab Nihayah al-Matlab Fi Diroyah al-Madzhab antara karya agung Imam Al-Haromayn.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lipatan sejarah tidak akan pernah melupakan sosok tubuh yang telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam ilmu Islam. Tokoh yang dimaksudkan adalah Imam al-Haromayn al-Juwayniyy. Beliau telah menghasilkan karya-karya yang amat bermutu yang terus dibaca dan dihayati sehingga ke hari ini.

Nama sebenar beliau ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf bin Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyuyah. Dilahirkan pada 18 Muharam 419 Hijrah bersamaan 22 Februari 1028 Masihi di Juwayn yang pada hari ini terletak di Iran.

Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Ayahanda dan datuk beliau adalah dua ulama besar di tanah Juwayn.

Al-Imam Abdul Malik bin Abdullah dikenali dengan panggilan Imam al-Haromayn al-Juwayniyy yang bermaksud: Imam bagi dua tanah haram dari Juwayn kerana beliau pernah tinggal di Mekah dan Madinah selama empat tahun semasa menunaikan ibadah haji.

Selama berada di dua tanah haram tersebut, beliau mencurahkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat di sana dan turut mengimamkan solat berjemaah di Masjidilharam dan Masjid al-Nabawi. Akhirnya beliau diberi gelaran Imam al-Haromayn.

PARA GURU BELIAU

Para sejarawan menyatakan sejumlah ulama telah mendidik Imam al-Haromayn. Antaranya ayahanda beliau sendiri iaitu al-Imam Abdullah bin Yusuf al-Juwayniyy.
Sang ayah mempelajari ilmu daripada sejumlah para ulama di zaman beliau. Antaranya, datuk Imam al-Haromayn sendiri iaitu Sheikh Yusuf bin Muhammad, Abu Ya’qub al-Abiwardiyy, Abu al-Toyyib al-Su’lukiyy dan Abu Bakr al-Qoffal al-Marwaziyy.

Ayahanda Imam al-Haromayn telah mendidik puteranya dengan amat baik sejak sebelum kelahiran Imam al-Haromayn lagi. Bapanya amat menitikberatkan makanan halal yang tidak ada unsur syubhah agar anak yang bakal lahir tumbuh daripada makanan yang halal.

Pernah suatu hari si bapa yang baru pulang ke rumah mendapati seorang hamba perempuan milik jiran beliau sedang menyusukan Imam al-Haromayn yang masih bayi ketika itu untuk mendiamkan Imam al-Haromayn yang menangis. Ibunya pula sedang sibuk memasak di dapur.

Lalu Imam al-Haromayn yang baru sahaja sempat menyusu sekali sedut atau dua kali sedut terus diambil oleh si ayah lalu berkata: “Hamba perempuan ini bukan milik kita. Maka dia tidak boleh menyusukan bayi sedangkan tuannya tidak mengizinkannya”. Sang bapa terus menterbalikkan Imam al-Haromayn dan terus mengorek mulut Imam al-Haromayn sehingga seluruh susu yang ditelan oleh si anak dimuntahkan semuanya.

Melalui sang ayah, Imam al-Haromayn al-Juwayniyy mendalami hadis-hadis Rasulullah SAW dan fikah mazhab al-Imam al-Syafi’e.

Namun Allah mentakdirkan bapanya meninggal dunia ketika Imam al-Haromayn berusia sekitar 19 tahun. Sekalipun beliau masih muda ketika itu, namun kerana ketinggian ilmu Imam al-Haromayn, para ulama ketika itu meminta beliau menggantikan tempat bapanya sebagai tenaga pengajar.

Selain berguru dengan bapa, Imam al-Haromayn turut menimba ilmu daripada al-Imam Abu al-Qosim al-Iskaf. Beliau ialah ulama besar di dalam ilmu akidah aliran Ahlus Sunnah di samping seorang pakar di dalam mazhab al-Imam al-Syafi’e.

Peluang berguru dengan al-Imam Abu al-Qosim al-Iskaf tidak dilepaskan sama sekali oleh Imam al-Haromayn. Sekalipun beliau menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia untuk terus mencurahkan ilmu, Imam al-Haromayn selepas selesai mengajar akan bergegas menghadiri pengajian oleh al-Imam Abu al-Qosim al-Iskaf.

Antara Sumbangan Karya Imam Al-Haromayn

Antara karya agung yang ditinggalkan oleh Imam al-Haromayn untuk kita semua adalah kitab bersaiz besar di dalam fikah mazhab al-Imam al-Syafi’e yang berjudul Nihayah al-Matlab Fi Diroyah al-Madzhab. Beliau juga turut menghasilkan sebuah kitab di dalam akidah Ahlus Sunnah yang berjudul al-Syamil Fi Usul al-Din.

Beliau juga menghasilkan kitab al-Burhan Fi Usul al-Fiqh dan al-Waroqot yang merupakan dua kitab di dalam ilmu Usul al-Fiqh. Beliau juga adalah pengarang kitab al-Irsyad Ila Qowati’ al-Adillah Fi Usul al-I’tiqod, al-Talkhis Fi Usul al-Fiqh, Ghiyath al-Umam dan pelbagai kitab yang lain.

ILMU YANG BERDEKATAN

Allah telah memuliakan Imam al-Haromayn dengan pewarisan ilmu yang terus disampaikan sehingga ke hari ini. Boleh dikatakan setiap ulama besar pada hari ini adalah cucu-cicit Imam al-Haromayn dari sudut keilmuan.

Sebagai contoh, guru kami Fadhilat al-Syeikh Sayyid Syaltut al-Syafi’iyy menuntut ilmu daripada guru beliau; Prof. Dr. Sheikh Ali bin Jum’ah yang merupakan bekas Mufti Kerajaan Mesir. Beliau adalah murid Sheikh Muhammad Zakiyy al-Din bin Ibrahim. Beliau pula murid Sheikh Hasanayn bin Makhluf al-‘Adawiyy. Beliau pula murid Sheikh Abdul Rahman bin Mahmud al-Asyutiyy. Beliau pula murid Sheikh Ali bin Abdul Haqq al-Qusiyy. Beliau pula murid Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Ahmad yang dikenali dengan panggilan al-Amir al-Kabir. Beliau pula murid Sheikh Ali bin Ahmad al-So’idiyy.

Beliau pula murid Sheikh Muhammad bin Ahmad bin Sa’id al-Hanafiyy yang dikenali dengan panggilan Ibnu ‘Aqilah. Beliau pula murid Sheikh Ahmad bin Muhammad al-Banna al-Dumyatiyy. Beliau pula murid Sheikh Ali bin Ali al-Syabromallisiyy. Beliau pula murid Sheikh Ali bin Yahya al-Ziyadiyy. Beliau pula murid Sheikh Ahmad bin Hamzah yang dikenali dengan panggilan Syihab al-Din al-Romliyy.

Beliau pula murid Sheikh Zakariyya bin Muhammad al-Ansoriyy. Beliau pula murid Sheikh Ahmad yang dikenali ramai dengan panggilan Ibnu Hajar al-‘Asqolaniyy. Beliau pula murid Sheikh Abdul Rahman bin Ahmad al-Ghozziyy. Beliau pula murid Sheikh Sodr al-Din al-Ansoriyy al-Sukkariyy.

Beliau pula murid kepada datuk beliau; Fakhr al-Din Abdullah bin Abdul Rahman al-Sukkariyy. Beliau pula murid Sheikh Abu al-Qosim ‘Arab Syah. Beliau pula murid Sheikh Abdul Jabbar bin Muhammad al-Bayhaqiyy. Beliau pula adalah murid langsung Imam al-Haromayn al-Juwayniyy.

KEWAFATAN IMAM AL-HAROMAYN

Setelah sekitar 41 tahun berkecimpung dalam dunia ilmu pengetahuan, Allah telah memanggil Imam al-Haromayn al-Juwayniyy pulang menghadap-Nya selepas solat Isyak pada 25 Rabiulakhir 478 Hijrah bersamaan 25 Ogos 1085 Masihi dalam usia 59 tahun.

Solat jenazahnya diimamkan oleh puteranya, Abu al-Qosim al-Juwayniyy seterusnya jenazah yang mulia ini disemadikan di dalam rumah beliau sendiri.

Setelah dua tahun berlalu, jenazah beliau dipindahkan dan dikebumikan semula bersebelahan kubur ayahanda beliau al-Imam Abdullah bin Yusuf al-Juwayniyy. Al-Fatihah.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya